DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah mengurniakan kereta kepada Pengarah Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kakitangan Wad Diraja HSA hari ini.
Pada September lalu, baginda juga telah mengurniakan kereta Myvi kepada 10 Jururawat Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah.
Sebagai penghargaan atas dedikasi dan komitmen
Foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Menerusi satu ciapan di Facebook, DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah, pengurniaan itu adalah sebagai penghargaan atas dedikasi, komitmen serta profesionalisme yang tinggi dalam perkhidmatan mereka.
Pengarah Hospital Dr Mohtar Pungut @ Ahmad, Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan & Trauma, Dr. Ismail Jumali dan Pegawai Perubatan Unit Kardiotorasik Anestesia, Dr Mohd Firdaus Shamsuddin masing-masing teah menerima sebuah Proton baharu X70.
Manakala Ketua Penyelia Jururawat Sarinah Sukor dan Penyelia Jururawat Fauziah Sulaiman, masing-masing telah menerima sebuah Perodua Myvi.
Kenderaan yang dikurniakan telah diserahkan oleh Dato’ Perdana Dalam, Kolonel (B) Dato’ Mohamed Perang Musa selaku wakil kepada Baginda Tuanku Sultan Ibrahim.
Menjunjung kasih kurniaan Sultan Johor
Foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Pengarah Hospital Sultanah Aminah, Dr. Mohtar turut menjunjung kasih atas kurniaan kereta yang dihadiahkan Sultan Johor.
Patik memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada KeBawah Duli Tuanku atas kurniaan Baginda ini kepada patik dan kakitangan sekalian. Patik mendoakan Tuanku serta Kerabat DiRaja sentiasa sihat sejahtera. InsyaAllah, kami akan terus berikan perkhidmatan terbaik kepada Tuanku sekeluarga serta rakyat jelata
Dr Mohtar juga berkata pihaknya sangat bersyukur dan akan mendoakan Tuanku serta Kerabat DiRaja sentiasa sihat sejahtera.
Sumber: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar