Selama dua hari ini, peminat tegar nasi kandar boleh menikmati makanan kegemaran sampai puas di Nasi Kandaq Fest yang diadakan di jalan masuk utama (main driveway), Sunway Putra Mall.
Berkemungkinan ada Nasi Kandaq Fest 2.0
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FriedChillies, Mohd Adly Rizal berkata, idea untuk menganjurkan festival ini bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020.
Bertitik tolak daripada PKP lah kita mula menjalin kerjasama dengan Nasi Kandaq Transporter dan Nasi Kandaq Hunters yang ketika itu mengambil pesanan dan membawa makanan kegemaran rakyat Malaysia itu dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.
Dan selepas PKP berakhir, kami mula mengadakan perbincangan dengan lebih serius untuk membawa terus vendor-vendor terbaik nasi kandar ke Kuala Lumpur dan himpunkan mereka di Sunway Putra Mall, hari ini.
Kami juga berbesar hati kerana pihak Sunway Putra Mall mempelawa kami untuk menjalin kerjasama dan merealisasikan acara Nasi Kandaq Fest ini.
Tambah Adly lagi, Nasi Kandaq Fest bakal berlangsung selama dua hari bermula hari ini sehingga hari Ahad dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Dalam pada itu Mohd Adly berkata, FriedChillies merancang untuk menganjurkan Nasi Kandaq Fest 2.0 sekiranya, acara sulung ini mendapat sambutan yang menggalakan.
Kami memang sudah mempunyai perancangan untuk menganjurkan Nasi Kandaq Fest 2.0 dan mungkin akan dijadikan acara tahunan, sekiranya program yang kami bawakan hari ini mendapat sambutan daripada orang ramai.
Antara yang kami rancang ialah, membawa lebih ramai vendor popular nasi kandar ke Kuala Lumpur selain mencari venue yang lebih besar.
Boleh makan di zon kenduri
Sementara itu, Ketua Pemasaran Sunway Putra Mall iaitu Tan Ai Vee berkata, untuk memastikan keselesaan orang ramai, pihak mereka telah menukar ruang legar utama di tingkat bawah kepada ‘zon kenduri’.
Zon kenduri ini lebih selesa dan berada di dalam mall. Orang ramai boleh membeli nasi kandar dan kemudian menikmatinya di zon kenduri.
Manakala salah seorang Pengasas Nasi Kandaq Hunters (NKH) Badrol Izam pula menyatakan mereka meletakkan sasaran seramai 10,000 hingga 12,000 pengunjung akan datang ke acara tersebut.
NKH amat berbesar hati kerana acara unik ini memberi peluang kepada orang ramai terutama di Lembah Klang untuk menikmati air tangan dari tokoh-tokoh nasi kandar yang tersohor dari tempat-tempat original di Malaysia.
Kami memang tak sabar untuk mereka menghayati pelbagai rasa kari dan lauk nasi kandar sebab memang semua lejen yang kami himpun di sini, ada kelebihan mereka yang tersendiri. Semua akan berada di bawah satu bumbung, bila lagi geng?
OhBulan! senaraikan 10 lejen nasi kandar bersama Nasi Kandaq Fest:
1. Restoran Liga Maju Nasi Dalca Ayam Negro
2. Hameediyah Restaurant
3. Nasi Kandar Bawah Pokok (Nasi Kandar Jamal Mohamed)
4. Restoran Kudu Bin Abdul
5. Nasi Kandar Line Clear Kampung Baru
6. Pelita Nasi Kandar Taman Chai Leng
7. Sadam Nasi Kandar
8. Sithique Nasi Kandar
9. Nasi Kandaq Talam Johor Bahru
10. Yusuf Restaurant
Bukan itu sahaja, semua pengunjung boleh memperoleh baucar tunai dan diskaun dari Sunway Putra Mall untuk minuman, pencuci mulut dan banyak lagi barangan lain.