berita

Suspek Kes Pukul Pekerja Petronas Ditahan, Ada Rekod Jenayah Lampau

October 19th, 2018 | by Arini Saleh
Isu & Kontroversi

Tindakan sekumpulan lelaki mengamuk di Petronas Sungkai 6 Oktober lalu akibat tersalah mengisi jenis minyak telah menyebabkan mereka diburu polis. Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pekerja stesen minyak dibawa  keluar oleh kumpulan tersebut sebelum dipukul dan dibaling objek sehingga terjatuh.

Menerusi Harian Metro, dua lelaki telah ditahan dan salah seorangnya memiliki rekod jenayah lampau.

Direman empat hari

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail memberitahu, kedua-dua lelaki tersebut ditahan di lokasi berasingan iaitu di Jalan Klang Lama dan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah ketika menyerah diri.

Suspek pertama adalah seorang lelaki berusia 40 tahun yang ditahan di kediamannya di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, pada jam 9.45 malam semalam.
Seorang lagi suspek adalah lelaki berusia 25 tahun dan ditahan di perkarangan IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Tapah ketika menyerah diri pada 4.15 petang hari ini.

Tambahnya lagi, suspek pertama direman selama empat hari untuk siasatan lanjut, manakala perintah reman untuk suspek kedua akan dipohon hari ini di Mahkamah Majistret Tapah.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman pula, lelaki berumur 40 tahun yang ditahan itu mempunyai rekod mencederakan orang mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK).

Polis menyeru rakan suspek yang lain tampil ke balai polis bagi membantu siasatan. Kes ini diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 147 Kanun kerana merusuh.

Sumber : Harian Metro

SKIP THIS AD ×