berita

Suspek Samun & Pukul Wanita Dalam Lift MRT Ditahan

February 19th, 2019 | by Amat
Kini Trending

Viral di media sosial sebuah video rakaman CCTV di dalam sebuah lift di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, tempoh hari. Video tersebut menyaksikan seorang lelaki bertindak membelasah seorang perempuan dan melarikan dompet mangsa.

Susulan dari insiden itu, Ahli Parlimen Kepong menawarkan ganjaran RM10,000 kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai suspek.  Terbaru, suspek berusia 26 tahun itu telah berjaya ditahan di Taman Cheras.

Sepak dan pukul wanita dalam lift

Rakaman video berdurasi 57 saat ini menyaksikan suspek mengekori mangsa yang bersendirian masuk ke dalam lift. Suspek bertindak menumbuk mangsa beberapa kali sebelum menarik rambut dan menendang wanita itu.

Ketika lift berhenti seketika di tingkat lain, suspek berhenti memukul mangsa dan berpura-pura berdiri sambil sebelah tangannya masih memegang rambut mangsa. Suspek kemudian segera menekan butang untuk menutup pintu lift sebelum sambung membelasah mangsa semula.

Berjaya melarikan dompet mangsa

Menurut laporan Metro Online, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa melaporkan kejadian itu berlaku jam 6.45 pagi ketika mangsa berada di dalam lift bersama suspek lelaki itu.

Akibat kejadian itu, mangsa bengkak di dahi akibat dibelasah suspek. Suspek melarikan dompet mangsa yang mengandungi kad pengenalan, kad ATM dan wang tunai berjumlah RM400.

Ahli Parlimen Kepong, YB Lim Lip Eng menawarkan wang tunai sebanyak RM10,000 kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai suspek lelaki itu. Dia mahu penjenayah itu ditahan dan dibawa ke muka pengadilan dalam masa terdekat.

Apa yang paling saya takuti adalah jika dia tidak ditahan dalam masa terdekat, ia mungkin akan mempengaruhi penjenayah lain melakukan jenayah dengan cara sama iaitu di dalam lif atau mana-mana lokasi terlindung. Malah, mereka mungkin turut mensasarkan lelaki dengan bergerak secara berkumpulan.

Suspek berjaya ditahan

Bagaimanapun, suspek lelaki berkenaan telah berjaya ditahan oleh pihak berkuasa di Taman Cheras, Jalan Cheras di Kuala Lumpur. Anggota polis Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan lelaki tersebut kira-kira jam 8.10 malam tadi.

Malah, pihak polis sudah mengenal pasti identiti suspek. Akibat kejadian itu, mangsa cedera pada dahi dan badan serta dirawat di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Sumber: Metro

SKIP THIS AD ×