Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui kini boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan majlis pernikahannya bersama tunang, Bella Astillah, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan yang membebaskannya daripada semua pertuduhan.

Artikel Berkaitan: Syed Saddiq Bebas Hukuman Tujuh Tahun Penjara & Dua Sebatan

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Syed Saddiq Luah Hasrat Mahu Kahwin Depan Anak-Anak Bella Astillah, Siap Lukis Buat Ara Adreanna 

Syed Saddiq fokus persiapan kahwin

Syed Saddiq, 33, berkata kedua-dua ibu bapanya, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, turut memberikan restu agar mereka meneruskan perancangan mendirikan rumah tangga.

Sekarang saya dan Bella boleh buat persiapan perkahwinan dengan tenang. Selepas sujud syukur tadi, ayah dan ibu berbisik kepada saya dan memberi lampu hijau. Itu isyarat yang paling jelas.

Mengenai perincian majlis, biarlah menjadi perbincangan antara kedua-dua keluarga. Hari ini lebih baik kita memberi penghormatan kepada Istana Kehakiman. Kalau ada soalan yang lebih khusus, nanti boleh tanya dalam siaran langsung Bella.

Syed Saddiq berkata demikian ketika ditemui sejurus selesai prosiding rayuan akhir di Istana Kehakiman, Putrajaya, pada Isnin.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada semua pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bersatu.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan bekas Menteri Belia dan Sukan itu dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dijatuhkan sebelum ini oleh Mahkamah Tinggi.

Untuk rekod, Syed Saddiq dan Bella Astillah selamat mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.