Kehadiran beberapa personaliti terkemuka seperti Nabila Razali, Bella Astillah dan YB Syed Saddiq dalam program mega Road Tour Mula Awal Skor A+ SPM PTTI di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam bukan sekadar memeriahkan suasana, malah turut memberi suntikan semangat kepada lebih 4,000 calon SPM yang hadir.

Sumbangan buat pelajar

Tujuan utama kehadiran mereka adalah untuk berkongsi pengalaman, nasihat dan semangat perjuangan dalam membina masa depan, khususnya kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting itu.

Dalam majlis sama, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menerima sumbangan tajaan pendidikan berjumlah RM100,000 daripada Pusat Tuisyen PTTI. 

Tajaan tersebut bertujuan membantu pelajar kurang berkemampuan di kawasan Muar, Johor terutamanya calon SPM, agar mereka mendapat akses kepada kelas tuisyen dan kemudahan pembelajaran yang lebih baik.

Menurut Saddiq, inisiatif ini merupakan satu pelaburan penting dalam membina masa depan anak-anak Malaysia daripada keluarga berpendapatan rendah.

Saya kena ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Cikgu Farhana dan pasukan PTTI atas sumbangan yang sangat besar. Pendidikan memang merupakan keutamaan anak-anak kita dan bukan semua ada kesempatan atau kemampuan untuk mendapat akses kepada kelas tuisyen yang berkualiti. 

PTTI sendiri telah membuktikan rekod prestasi yang sangat baik, malah antara terbaik dalam mendidik anak-anak untuk mencapai keputusan cemerlang,

Manakala tajaan tambahan bernilai RM20,000 disalurkan secara langsung kepada bekas Menteri Belia & Sukan itu untuk membeli komputer riba dan tablet bagi diagihkan kepada pelajar menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha. Inisiatif ini sekaligus dapat merapatkan jurang pendidikan antara pelajar bandar dan luar bandar.

Saya berdoa agar PTTI terus memainkan peranan dalam memperkasakan pendidikan negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Farhana, turut menzahirkan komitmen organisasi itu untuk terus mendampingi pelajar yang memerlukan, khususnya dalam subjek-subjek kritikal seperti Matematik, Fizik dan Kimia.

Pengalaman kami lebih 10 tahun memimpin PTTI  membolehkan kami membantu lebih 800,000 pelajar, termasuk 400 pelajar yang berjaya mendapat straight A pada SPM 2024 yang lalu.

Kami yakin teknik dan formula PTTI mampu membawa lebih ramai pelajar ke arah kecemerlangan.’

Acara Roadtour Skor A+ SPM PTTI bukan sekadar sesi akademik, tetapi turut menyuntik inspirasi menerusi kehadiran personaliti terkenal seperti Bella Astillah, MK K-Clique, Iman Troye, Zaki Yamani, Nabila Razali, Space Dollah, Asyraf Khalid dan ramai lagi, yang berkongsi pengalaman hidup serta kata-kata motivasi kepada para pelajar.