Umum tahu, pasangan selebriti Uqasha Senrose dan Kamal Adli sudah sah menjadi suami isteri pada 5 November lalu di sebuah lokasi persendirian di Janda Baik, Pahang.
Artikel Berkaitan: Sebulan Simpan Rahsia, Kamal Adli & Uqasha Senrose Sudah Bergelar Suami Isteri – ‘Kami Tak Ada Niat Untuk Merahsiakan Majlis Perkahwinan’
Allah makbul doa jodoh
Lega akhirnya selesai selepas beberapa kali terpaksa ditangguh, Uqasha, 29, menyatakan dia memilih untuk menunaikan umrah pada 23 Disember ini bersama suami sebelum merancang untuk berbulan madu selepas itu.
Menurut Uqasha, ini adalah kali ketiga dia berangkat ke tanah suci Makkah. Katanya, tujuan kali ini adalah untuk memanjatkan rasa syukur kerana Allah memakbulkan doa jodohnya dengan Kamal.
Pertama kali saya mengerjakan umrah sebelum menjalani penggambaran drama bersiri, Selepas Terlafaznya Akad bergandingan dengan Kamal. Cuma ketika itu, hubungan kami tak lebih sebagai rakan artis sahaja.
Kemudian ketika kami berkampung di Melaka selama lima bulan, alhamdulillah drama tersebut meletop dan selepas itu saya sekali lagi ke tanah suci bersama keluarga.
Pada masa itulah, kami sedang mengenali hati budi dan berdoa di depan Kaabah. Doa saya, sekiranya benar Ahmad Kamal Ahmad Adli adalah jodohku, Kau panjangkanlah jodoh kami dan jika sebaliknya, Kau pisahkan kami cara baik.
Alhamdulillah jodoh kami berterusan dan kerana itulah sebabnya saya berhajat untuk buat umrah sekali lagi demi memanjatkan kesyukuran atas doa jodoh yang dimakbulkanNya.
Sementara itu, pemilik nama Ahmad Kamal Ahmad Adli, 35, yang pertama kali akan menjejak kaki di tanah suci akui teruja dan tidak sabar untuk pergi bersama isteri tersayang.
Ini pengalaman pertama saya buat umrah dan kami akan membawa bersama iringan-iringan doa yang baik-baik untuk kami berdua. Sudah semestinya saya tambah seronok sebab pergi tunai ibadah bersama-sama isteri. Doakan moga semuanya dipermudahkan.
Tak tolak rezeki anak
Dalam pada itu, Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen tidak menolak sekiranya dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat.
Sejujurnya saya bersedia sekiranya ada rezeki hamil dalam masa terdekat. Hal macam ni, sebaiknya tidak perlulah dirancang.
Kalau ada (rezeki anak), adalah. Kalau boleh menurut Kamal, dia gembira sekiranya kami mempunyai empat cahaya mata, dua lelaki dan dua perempuan.
Terdahulu, Kamal membuat kejutan apabila melamar Uqasha secara langsung pada siaran Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME 2020) yang berlangsung Disember tahun lalu.
Hubungan cinta mereka mula menjadi perhatian peminat selepas digandingkan dalam sebuah drama arahan Michael Ang berjudul, Setelah Terlafaznya Akad.
Pasangan tersebut yang melangsungkan pertunangan pada April lalu sepatutnya melangsungkan majlis akad nikah dan tiga buah majlis resepsi di sebuah pusat peranginan tanah tinggi terkemuka, namun terpaksa menangguhkan hasrat tersebut disebabkan virus Covid-19 yang semakin menular.
Sumber: Instagram @uqashasenrose2, @rizmanruzaini