
Pelakon, Kamal Adli mengakui Ramadan kali ini terasa berbeza buatnya memandangkan dia kini kembali menjalani kehidupan secara solo.
Artikel Berkaitan: Kamal Adli Syukur Uqasha Mudahkan Urusan Jumpa Anak, Akur Tiada Hak Bermalam – ‘Mungkin Dia Risau’
‘Ramadan tahun ini berbeza’

Kamal atau nama lengkapnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, berkata perubahan tersebut turut memberi kesan kepada rutin hariannya sepanjang bulan puasa, termasuk ketika bersahur.
Ramadan tahun ini sangat berbeza sebab bila balik tiada orang. Itu yang terlepas sahur. Hari ketiga sahur dah tak bangun, tidak mampu dah sebab tiada orang kejut sahur.
Sebelum ini bangun sebab kena kejutkan orang, pastikan orang sahur juga. Tapi tahun ini tak makan pun tak apa, memang tangkap muat saja setakat ini, apa yang ada.
Kamal berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis Viu Together Gather dan Iftar yang berlangsung di ibu kota, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Kamal sempat berseloroh mengenai keadaan dapurnya yang sudah lama tidak berasap kerana jarang memasak sejak kebelakangan ini.
Tak ada kepentingan sangat nak fikir macam dulu. Kalau hari pertama puasa, saya tak reti masak, konon-konon masak. Saya tak tahu mungkin tidak sedap tapi sebab orang nak jaga hati saya, dia katalah sedap.
Tahun ini tak masak pun, saya pun dah lupa bentuk macam mana sebab lama sangat tak masuk dapur.
Imbas kembali, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu selepas aktres itu memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober tahun lalu atas alasan tiada persefahaman.
Untuk rekod, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang dilahirkan pada 27 April 2024.
Dalam perkembangan lain, Kamal tampil dengan drama terbaharu berjudul Hening Rindu bergandingan bersama Mimi Lana.








