Gara-gara tidak berjaya memenangi hati bekas kekasihnya, seorang lelaki di Thailand tergamak menetak badan wanita itu hingga mangsa tidak bernyawa.
Tetak mangsa sampai mati
Memetik laporan The Thaiger, ketika kejadian, mangsa yang berusia 20 tahun itu berada di rumahnya dan cuba menyelamatkan diri daripada suspek. Mangsa bertindak melompat keluar dari tingkat dua kediamannya dan berlari ke dalam sebuah restoran tempatnya bekerja.
Suspek kemudian mengejar mangsa sebelum nekad mengambil pisau di dapur restoran dan menetak mangsa berkali-kali hingga mati. Ketika itu, dua orang pekerja restoran yang cuba membantu turut ditetak di bahagian kepala dan leher dikelar oleh suspek. Kedua-dua mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Salah seorang pekerja restoran mendakwa melihat suspek mengejar, menarik rambut dan memukul mangsa sebelum menyerang dua lagi pekerja yang lain. Menerusi sistem televisyen litar tertutup (CCTV), suspek dilihat melarikan diri ke dalam Terusan Bang Phra selepas melakukan pembunuhan tersebut.
Polis kemudian mendapati dia bersembunyi di dalam hutan kira-kira 40 meter dari Jambatan Bang Phra. Suspek akhirnya berjaya ditahan dan kini sedang menerima rawatan di hospital kerana mengalami kecederaan sebelum disoal siasat.
Sumber: The Thaiger