Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana mengambil pendekatan untuk tidak berkongsi perihal peribadi termasuk kisah rumah tangganya bersama aktor, Yusuf Bahrin kepada umum.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Yusuf Bahrin ‘Prepare’ Kejutan Istimewa Di Rumah Buat Zizi Kirana

Pasang surut

Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil, 40, berkata setiap perkahwinan pasti berdepan cabaran dan dugaan, namun baginya perkara itu tidak perlu dijadikan tontonan awam.

Saya tidak mahu berikan penjelasan apa-apa mengenai rumah tangga, sebab saya rasa benda itu tak penting untuk diketahui ramai.

Saya tak cakap saya sentiasa bahagia sebab kalian juga tahu keadaan rumah tangga bagaimana, akan ada pasang surut. Jadi apa yang penting, kita jaga saja privasi kita.

Saya memang seorang yang menjaga privasi, saya tak mahu orang ambil tahu pasal rumah tangga saya.

Zizi berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Majlis Tayangan filem Hayya 3: Gaza yang berlangsung di Pavilion Bukit Jalil, baru-baru ini.

Sementara itu, ditanya mengenai kejutan yang ingin diberikan Yusuf sejurus dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Zizi hanya tersenyum dan menjawab ringkas.

Tiada, kejutannya saya balik rumah. Itu saja.

Terdahulu, rumah tangga pasangan itu menjadi perhatian netizen selepas mereka dikatakan tidak lagi saling mengikuti akaun media sosial masing-masing.

Untuk rekod, Zizi dan Yusuf mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 selepas berkenalan ketika rakaman program hiburan All Together Now Malaysia.