berita

Tak Mampu Bayar RM3200 Kos Pengebumian, 4 Hari Simpan Jenazah Sepupu Dalam Peti Mayat

April 4th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Isu segelintir pihak yang sanggup mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran yang mahal dalam mengendalikan pengurusan jenazah sering dikongsikan sejak belakangan ini. Meskipun, pengebumian setiap jasad orang Islam hendaklah disegerakan, terdapat juga beberapa cabaran yang dihadapi sesetengah masyarakat yang kurang berkemampuan.

Menerusi Facebook Skuad Pengurusan Jenazah, mereka menceritakan cabaran menguruskan jenazah seorang warga Indonesia yang sudah meninggal dunia 4 hari lalu. Lebih menyedihkan, jenazah hanya mempunyai seorang waris terdekat iaitu sepupunya di Malaysia.

Kadar caj yang tidak munasabah

Kalau tak ada duit, biarlah jenazah tu dalam peti lama-lama.

“Allahuakbar, hari ini merupakan hari yang agak mencabar buat kami dalam menguruskan jenazah warga Indonesia yang telah meninggal dunia 4 hari yang lepas. Jenazahnya disimpan di dalam peti mayat di sebuah hospital di Petaling Jaya. Waris terdekat arwah yang ada di Malaysia hanyalah sepupunya yang tinggal serumah dengannya di Mutiara Damansara.

Oleh kerana mereka orang asing, maka ada beberapa pihak yang ingin mengambil kesempatan di atas kesempitan mereka. Pihak tidak bertanggungjawab tersebut meletakkan kadar caj yang tidak munasabah untuk menguruskan jenazah dan mengebumikannya di sini sehingga mencecah RM 3200. Sedangkan kadar tersebut bersamaan kadar membawa pulang jenazah ke Indonesia pada kebiasaannya.

Duduk dalam peti lama-lama

Paling mendukacitakan apabila pihak tersebut seolah-olah mengugut pihak waris dengan berkata, “Kalau tak ada duit, biarlah jenazah tu duduk dalam peti lama-lama! Astaghfirullahalazim. Mujur sepupunya mempunyai seorang kenalan rapat orang Malaysia yang juga merupakan pengikut Instagram SPJ Malaysia. Beliau menghubungi kami untuk meminta bantuan menguruskan jenazah tersebut.

Maka seawal pagi tadi (02 April 2020), kami telah berada di hospital tersebut untuk menuntut jenazah. Namun dukacitanya jenazah tersebut mengalami kesulitan lagi kerana pihak Kedutaan Indonesia bertindak terlalu lambat dalam mengeluarkan surat pelepasan menguruskan jenazah tersebut.

Terdapat juga beberapa kekangan dari sudut pengurusan hospital tersebut sehinggalah jenazah dapat dilepaskan keluar pada jam 4:00 petang. 6 jam kami menahan lapar tidak makan dari pagi menunggu untuk menuntut jenazah tersebut! Setelah jenazah diuruskan di Kontena Wakaf SPJM, jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara untuk dikebumikan di sana.

Mematuhi prosedur keselamatan

Jenazah diuruskan dengan berhati-hati dengan mematuhi prosedur keselamatan kesihatan kerana mempunyai penyakit berjangkit berisiko tinggi dan kami dipantau oleh Inspektor Kesihatan (IK) yang bertugas. Alhamdulillah, semuanya selesai pada jam 6:45 petang.

Terima kasih kepada IK Gombak, Tn. Aaron dan IK Petaling Jaya, Tn. Syafiq dan pihak pengurusan Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara kerana memudahkan urusan kami untuk menguruskan jenazah. Semoga Allah swt permudahkan urusan kita asbab kita memudahkan urusan orang lain dan semoga kita semua dikurniakan husnul khotimah dan dipermudahkan pengurusan jenazah kita kelak. Insya’Allah, Amin. Syabas Skuad!

Sumber: Skuad Pengurusan Jenazah

SKIP THIS AD ×