Setiap ibu bapa pastinya menginginkan masa depan yang baik untuk anak-anak mereka. Seawal usia tiga tahun, ada anak-anak sudah dihantar ke sekolah untuk diberikan pendidikan yang baik. Malah pada hari ini, ramai kanak-kanak yang perlu menghadiri kelas tambahan di sekolah bagi membantu mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.
Namun, menerusi laporan Berita Harian, tindakan seorang kanak-kanak ini mungkin tidak terbayang dek akal apabila sanggup mereka cerita dirinya diculik semata-mata kerana tidak mahu menghadiri kelas tambahan.
Kononnya cuba diculik lapan lelaki
Sebelum ini viral tentang cerita seorang murid perempuan yang dikatakan cuba diculik oleh sekumpulan lapan lelaki di hadapan Sekolah Rendah Agama Bukit Kapar Barat, Klang, pada minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh bagaimanapun berkata ia adalah tidak benar dan cerita itu telah direka oleh kanak-kanak itu sendiri bagi menarik perhatian keluarganya.
Mangsa memberikan pengakuan dan didapati kejadian cubaan menculik adalah tidak benar dan sengaja direka untuk menarik perhatian keluarganya.
Tak berminat untuk ke kelas tambahan
Menurut Nurulhuda, mangsa dikatakan bertindak sedemikian kerana enggan menghadiri kelas tambahan Bahasa Arab di sekolahnya.
Selain itu, mangsa tidak berminat untuk menghadiri kelas tambahan mata pelajaran Bahasa Arab yang diadakan di sekolah itu.
Sebelum ini, murid berusia 11 tahun itu mendakwa dia hampir menjadi mangsa penculikan di hadapan Sekolah Agama Bukit Kapar Barat, pada 10.30 pagi Sabtu lalu.
Menurutnya, lapan individu menaiki dua van putih disyaki melakukan kegiatan itu ketika murid terbabit sedang menunggu penjaga di luar kawasan sekolah.
Difahamkan, ketika kejadian, murid itu dikatakan baru saja menghadiri kelas tambahan dan terdapat seorang lelaki membantu murid berkenaan daripada diculik ketika itu.
Hati-hati sebar maklumat
Justeru polis mengingatkan orang ramai untuk tidak secara somberono menyebarkan maklumat di media sosial bagi mengelakkan perasaan panik dalam kalangan masyarakat.
Penyebaran berita palsu merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sumber: Berita Harian