berita

‘Tak Payah Beli Berbotol-Botol Antiseptic’ – Doktor Jelaskan Salah Faham & Panik Tentang Influenza

January 15th, 2020 | by Arini Saleh
Kesihatan & Hidup Aktif

Jangkitan virus influenza dalam kalangan kanak-kanak telah menimbulkan rasa cemas ibu bapa. Berdasarkan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ibu bapa dinasihatkan mencegah penyakit dengan menutup mulut apabila batuk atau bersin. Selain itu, gunakan penutup mulut dan hidung (mask) jika ada mengalami gejala selsema. Apa yang paling penting, kerap cuci tangan dan menjaga kebersihan sepanjang masa.

Doktor perubatan turut menjelaskan salah faham yang viral di media sosial sekarang ini. Jangan terlalu panik!

Tak perlu panik

SALAH FAHAM DAN PANIK TENTANG INFLUENZA

Kita lihat ramai masyarakat sudah mula mengambil berat tentang influenza. Makin ramai ingin mengetahui apa itu influenza, makin ramai ingin mendapatkan vaksin influenza. Namun kesedaran yang semakin meningkat tidak sama dengan panik.

Bila klinik dapat berpuluh panggilan tanya tentang vaksin influenza, bila semua pesakit demam minta tamiflu. Bila masyarakat marah-marah kkm kenapa tak bagi vaksin influenza dekat klinik kerajaan. Ini bukan ambil berat, ini namanya panik.

Tidak perlu panik dengan situasi influenza di negara ini. Tidak ada jenis influenza yang menyebabkan lebih banyak kematian di negara ini, jenis influenza yang ada juga tidak ada kaitan dengan kes jangkitan paru-paru novel coronavirus yang berlaku di China itu.

KKM tak sorok data. KKM juga bukan nak tutup kes atas dasar politik. Kalau betul ada jenis yang bahaya memang akan terus diberitahu. Influenza yang berlaku adalah influenza bermusim (seasonal influenza). Negara kita memang akan melihat peningkatan kes influenza pada Jan hingga Mac, Julai hingga September dan November hingga Disember. Memang akan ada juga tahun-tahun yang kes meningkat lebih dari biasa. Situasi influenza sentiasa di pantau, dah bertahun-tahun kita ada ‘influenza like illness surveillance’.

Influenza boleh sembuh sendiri

Kita juga perlu tahu yang influenza ini boleh sembuh sendiri (self limiting) jika yang kena adalah orang yang sihat. Ia boleh jadi teruk kepada mereka yang berisiko (ibu mengandung, kanak-kanak bawah 12 bulan, warga emas). Kalau kita orang sihat, anak kita sebelum ini tiada penyakit, klinik itu tak ada vaksin influenza, tak dapat tamiflu pun tak apa, ambil ubat seperti biasa, minum air banyak dan teruskan lihat keadaan anak. Jika semakin lemah, susah bernafas barulah perlukan rawatan di hospital.

Pencegahan paling berkesan adalah sentiasa basuh tangan. Sebelum makan, sebelum sentuh anak, selepas keluar tandas, selepas batuk.

Lepas tu tak payahlah pergi beli berbotol-botol spray antiseptic dan fogging satu rumah. Cukuplah sentiasa pastikan pengaliran udara yang baik ke dalam dan ke luar rumah. Mop lantai rumah dan lap permukaan di atas rumah dengan sabun cuci seperti biasa pun sudah mencukupi. Itu rumah anda bukan ICU yang anda nak jadikan steril.

Tak perlu juga takut nak bawa anak pergi appointment klinik, atau pergi kenduri atau melawat ke mana rumah orang lain. Cukup dengan berhati-hati sahaja. Jika ada nampak ada orang yang batuk, nasihatkan mereka suruh tutup mulut dan sentiasalah basuh tangan.

Vaksin influenza tu bukan kena ambil tahun ini sahaja ya. Kena ambil setiap tahun. Lagi bagus kalau ambil waktu cuti sekolah sebelum sekolah buka ataupun waktu sekolah baru buka. Setiap tahun kami staf kesihatan kena cucuk vaksin ni. Anak saya pun saya bawa cucuk vaksin setiap tahun, bayar sendiri. Tak curi pun stok vaksin dekat klinik.

Jika tak pasti, silakan bertanya. Tambah pengetahuan dengan cara betul dan elakkan buat andaian sendiri.

Dr Fadly Khairie
Doktor Kesihatan Awam

Sumber : Dr Fadly Khairie

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×