Kisah hidup penyanyi era 1990-an, To’ki mula mendapat perhatian ramai selepas dia didapati tinggal di sebuah pondok di pinggir hutan. Ramai yang mula mempersoalkan anak-anak To’ki yang dikatakan mengabaikan bapa mereka sendiri.
Anak, Noor Hidayah menerusi Instagram Story menjawab dakwaan tersebut. Malah, ketika dihubungi Harian Metro, Hidayah memohon orang ramai supaya berhenti menuduh dan mengecam mereka adik beradik.
Belum bersedia jumpa bapa
Jelas Hidayah lagi, dia bukan tidak mahu berjumpa bapa tetapi dia memerlukan sedikit masa. Tambahnya, apa yang berlaku dalam keluarganya tidak seindah keluarga-keluarga yang lain.
Kami tak pernah bergaduh atau bertengkar dengan ayah, cuma kami sudah lama tidak berjumpa dan berhubung.
Selepas ditinggalkan ayah, dia sudah membawa haluannya sendiri. Namun, saya dan adik-beradik lain tidak pernah marah atau berdendam dengan keputusan ayah itu.
Meskipun kehidupan bersama ibu membesarkan adik-beradik lain bukan mudah, hingga kami pernah dihalau keluar rumah oleh penyewa tapi saya bersyukur ibu menjaga kami dengan begitu sempurna.
Saya tak faham kenapa netizen terlalu marah dengan kami, sedangkan mereka semua tidak tahu apa yang terjadi. Cuba letak keadaan berlaku ini kepada diri kalian, pasti anda akan faham.
Dia dan adik beradik yang lain buat masa ini belum bersedia bertemu bapa.
Tidak boleh berubah sekelip mata
Menurut Noor Hidayah lagi, setiap hari dia menerima mesej kecaman daripada orang ramai yang menuduhnya mengabaikan tanggungjawab terhadap bapa.
Hari-hari dapat mesej orang kecam dan memarahi saya serta keluarga. Saya hanya memberi pencerahan terhadap situasi yang berlaku dalam keluarga kami.
Apa yang terjadi sekalipun, dia tetap ayah kandung saya. Meskipun, selama 16 tahun saya tak tinggal dengan ayah selain kami juga tidak pernah berhubung. Cuma, ada bertemu pun ketika saya nak berkahwin.
Sepanjang tempoh itu, saya tegaskan tak pernah rasa kasih sayang seorang bapa atau bergurau manja dengannya. Jadi, takkan semuanya boleh berubah dengan sekelip mata hanya kerana desakan pihak luar.
Dia juga memohon agar orang ramai juga memahami apa yang dilalui mereka sejak kecil. Apabila sudah bersedia mereka sekeluarga pasti akan menziarahi bapa.
Sumber : Harian Metro