berita

Tak Puas Hati Disaman, Individu ‘Biadap’ Letak Daging Babi Atas Motor Penguatkuasa

December 3rd, 2019 | by Athirah
Kini Trending

Baru-baru ini viral di media sosial apabila motor kepunyaan anggota penguatkuasa sebuah perbandaran telah dilumur dan diletakkan daging babi di atasnya. Perbuatan keji itu telah mengundang rasa tidak puas hati dan marah dalam kalangan netizen sehingga ramai yang menyifatkan ia sebagai satu perilaku yang sangat biadap.

Menerusi laporan Harian Metro, perkara itu terjadi kepada motor anggota Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan ia berlaku di kawasan perumahan di Cheras, Kajang, semalam.

Dalam topi keledar pun letak

Gambar yang tular itu memperlihatkan individu tidak bertanggungjawab tersebut bukan sahaja melumurkan daging babi di atas motor milik anggota penguatkuasa MPKJ, malah turut meletakkan daging itu ke dalam topi keledar.

Ekoran daripada kejadian yang tidak disangka-sangka itu, satu paparan video turut dimuat naik dengan memperlihatkan anggota penguatkuasa terbabit terpaksa mensertu semula motosikalnya dengan air lumpur selepas dicemari dengan daging tersebut.

Kerana tak puas hati

Sementara itu menurut laporan portal tersebut, perbuatan tidak bermoral itu dipercayai dilakukan oleh individu yang tidak berpuas hati terhadap penguatkuasa MPKJ apabila saman parkir dikenakan terhadap mereka.

Berdasarkan kenyataan dari sumber MPKJ, kejadian itu sebagai tanda protes kerana individu terbabit tidak senang dengan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan oleh pihak mereka di kawasan komersial dan perumahan berkenaan.

Sebelum ini, kami sudah menangguhkan tindakan penguatkuasaan selama sebulan yang tamat pada bulan lalu. Namun apabila tindakan diambil terdapat segelintir bertindak sedemikian dan kejadian itu hanya disedari anggota penguatkuasa apabila mereka kembali semula ke motosikal selepas mengeluarkan saman.

Laporan polis berhubung kejadian yang dipercayai berlaku pada jam 10 pagi itu bagaimanapun sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut.

Sumber: Harian Metro, Facebook Kelab Info Malaysia