Seorang lelaki warga emas berdepan detik cemas selepas diserang dan ditetak dengan pisau oleh jirannya sendiri di Kampung Baru Ampang, Ampang, semalam.
Marah jalan di koridor
Mangsa, seorang warga emas berusia 64 tahun mengalami luka di bahagian lengan sebelah kiri dan sakit di semua anggota badan akibat serangan itu.
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi semasa mangsa berada di rumahnya.
Telah datang seorang lelaki tempatan merupakan jiran pengadu terus mendekati pengadu dengan memegang sebilah pisau lalu suspek terus menetak dan terkena topi keledar yang dipakai pengadu.
Suspek juga terus menolak pengadu sehingga jatuh dan terus menetak tangan kiri pengadu dengan pisau.
Pengadu telah mengalami kecederaan luka di bahagian lengan sebelah kiri dan sakit di semua badan dan telah mendapat rawatan di Hospital Ampang.
Tambah Mohamad Farouk lagi, pihak polis telah memberkas suspek kira-kira pukul 5.45 petang pada hari yang sama, dan suspek didapati mempunyai 4 rekod lampau dadah.
Pergaduhan difahamkan berpunca daripada isu laluan koridor depan rumah yang mana suspek tidak suka sekiranya mangsa melalui hadapan rumahnya ketika dia berada di koridor berkenaan.
Punca pergaduhan adalah disebabkan isu laluan koridor depan rumah. Suspek tidak suka pengadu lalu di depannya ketika suspek duduk di koridor hadapan rumah pengadu.
Suspek ditahan reman bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sumber: Polis Daerah Ampang Jaya Page