Setiap manusia pasti akan diuji dengan pelbagai jenis ujian termasuklah dari segi kesihatan, kewangan dan sebagainya. Tetapi kali ini lain pula kisahnya apabila seorang warga emas diuji dengan masalah mental sehingga nekad mengumpul sampah sarap di kediamannya.
Longgokan sampah sarap
Menerusi laporan yang dipetik daripada Sinar Harian, sebuah rumah yang terletak di Simpang Pulai, Ipoh berada dalam keadaan sangat tidak terurus dan kotor. Jika dilihat dari luaran, rumah tersebut nampak seperti tidak berpenghuni tetapi sebenarnya rumah itu dihuni oleh seorang warga emas yang dikenali dengan panggilan cikgu.
Kawasan rumah tersebut dipenuhi dengan timbunan plastik, tin kosong, sisa makanan dan sebagainya sehingga ianya kelihatan seperti pusat pelupusan sampah. Menurut sumber, pada setiap hari, guru yang telah bersara ini akan menaiki basikal mengelilingi kampung untuk mengutip sampah-sarap sebelum membawanya ke rumah. Lebih mengejutkan apabila wanita ini sanggup ‘memanjat’ longgokan sampah yang menghalang pintu itu untuk memasuki rumahnya.
Sampai jiran terkena demam denggi
Menurut jiran iaitu Sik Eng dan Agnes Kam, walaupun wanita berusia 60 tahun ini mempunyai 3 orang anak tetapi dia sebaliknya ditinggalkan sendirian di rumah itu. Jiran tetangga mengakui tidak tahan dengan persekitaran dan bau busuk yang datangnya dari rumah terbabit.
Sudah banyak kali kami menasihatkannya tetapi dia tidak pernah dengar, malah kami pula dimarahinya. Dia juga akan marah sekiranya kami usik sampahnya. Kami sentiasa menutup pintu dan tingkap kerana tidak tahan dengan bau busuk dan nyamuk yang banyak. Kami sudah tua tentu takut terkena demam denggi lagi.
Seorang lagi penduduk setempat iaitu Mohd Hanipah Pareeth berkata, dia mengharapkan anak-anak serta ahli keluarga wanita terbabit bertanggungjawab serta membantunya mendapatkan rawatan.
Masalah longgokkan sampah ini tidak akan selesai meskipun berpuluh aduan telah dibuat kepada pihak polis dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). MBI mengambil masa dua hari untuk bersihkan rumahnya beberapa tahun lalu, tetapi dia tetap kembali kutip sampah hinggakan jam 2.30 pagi dia akan kayuh basikal untuk bawa balik sampah.
Tindakan wanita ini sedikit sebanyak akan mengundang haiwan berbisa ‘melawat’ kawasan perumahan itu.
Sumber: Sinar Harian