berita

Tak Tahan Dengar Tangisan, Bapa Tergamak Sembur Racun Serangga, Tampar & Lambung Bayi 2 Bulan

June 22nd, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Disebabkan tidak tahan mendengar tangisan si kecil, seorang bapa tergamak menyembur racun serangga ke muka anaknya yang berusia 2 bulan.

Sembur racun dekat muka anak

Menerusi laporan yang dipetik daripada Berita Harian, kejadian kejam itu berlaku di kediaman mereka yang terletak di Taman Pauh Indah, Arau. Selain menyembur racun, suspek yang juga merupakan bapa kandung mangsa bertindak lebih kejam dengan menampar muka dan melambung anak kecil itu semata-mata mahu memberhentikan tangisan bayi itu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung dengan kes berkenaan daripada doktor dari Klinik Kesihatan Arau yang merawat mangsa.

Alami komplikasi otak

Berikutan daripada insiden itu, mangsa dikatakan kurang aktif dan kebiruan selain mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan leher. Bukan itu sahaja, terdapat kesan kemerahan di kepalanya. Difahamkan, mangsa mengalami komplikasi pada otak akibat kecederaan yang dialami.

Hasil soal siasat, ibu mangsa mengaku suaminya menyembur racun serangga pada muka dan mencederakan mangsa.

Sementara itu, suspek berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pesawah telah pun ditahan oleh pihak polis dan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah membenarkan tempoh tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Khamis untuk membantu siasatan.

Mangsa kini dirujuk kepada Pakar Kanak-Kanak Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk pemeriksaan lebih lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Sumber: Berita Harian, Astro Awani

SKIP THIS AD ×