Pelakon, Siti Khadijah mengambil keputusan untuk tidak mengulas lanjut mengenai isu yang melibatkan penyanyi, Aweera susulan tindakannya memuat naik ucapan berunsur romantik bersama lukisan wajah aktres tersebut yang sebelum ini menarik perhatian warganet di media sosial.

Artikel Berkaitan: Siti Khadijah Mahu Ambil Tindakan Undang-Undang, Berang Foto Disunting AI Bersama ‘Daddy Ash’ – ‘Saya Cari Awak & Saman’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Netizen Risau Sweet Qismina Cemburu Adam Lee Jadi Model Pakaian Bersama Siti Khadijah – ‘Dia Ada Je Depan Tu’

Tidak mahu ada kontroversi

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Siti Khadijah Abdul Halim, 29, menyifatkan tindakan penyanyi itu sebagai sesuatu yang mencuit hati.

Namun, dia memilih untuk tidak memberikan sebarang respons bagi mengelakkan tercetusnya kontroversi yang tidak diperlukan.

Saya rasa lucu juga sebab sebelum ini dia pernah buat ‘story’ dan tag saya.

Dia pernah menyanyi sambil menyebut nama saya.

Cuma saya tak nak balas sebab saya tak nak timbulkan kontroversi yang tak perlu.

Kalau ada kontroversi pun, saya nak yang membanggakan seperti Siti Khadijah membanggakan Malaysia di persada antarabangsa.

Saya nak cerita sensasi yang begitu.

Jadi perkara seperti ini saya kurang gemar untuk melayan.

Siti berkata demikian ketika ditemui pada sesi eksklusif Content Day filem Khadam di Holiday Inn Bangsar, pada Rabu.

Kurang selesa

Dalam pada itu, aktres drama ‘Bidadari Salju’ turut menjelaskan bahawa dia tidak mengetahui perasaan sebenar Aweera terhadap dirinya, namun pada masa sama menghargai keberanian yang ditunjukkan.

Saya tak tahu apa perasaan dia terhadap saya.

Tetapi saya berterima kasih kerana bukan semua orang berani menyatakan rasa suka secara terbuka.

Saya kagum dengan keberanian dia.

Dalam masa sama, Siti memaklumkan bahawa Aweera pernah menghubunginya menerusi mesej langsung (DM).

Namun begitu, dia mengambil keputusan untuk tidak membalas mesej tersebut kerana berasa kurang selesa dengan situasi berkenaan.

Dia ada DM dan mesej pengurus saya sebab tidak ada nombor peribadi saya.

Saya harap perkara itu kekal begitu.

Cuma saya harap ia tidak melukakan mana-mana pihak kerana itu bukan niat saya.

Di samping itu, Siti memilih untuk memberi tumpuan terhadap kariernya terlebih dahulu, manakala soal jodoh diserahkan sepenuhnya kepada ketentuan rezeki pada masa hadapan.

Buat masa sekarang saya mahu fokus kepada kerjaya dan mencari rezeki dahulu.

Selagi masih ada peluang dan tenaga, saya mahu bina karier dulu.

Kalau ada rezeki dan jodoh nanti, insyaAllah adalah.