Seorang ‘tokan’ dadah di Thailand sanggup menjalani pembedahan plastik untuk menyamar sebagai lelaki Korea yang kacak bagi meloloskan dirinya daripada ditahan oleh pihak polis. Namun begitu, pihak polis berjaya menahan lelaki tersebut pada hari Jumaat lalu.
Ubah wajah
Menerusi laporan The Straits Times, Sarahat Sawangjaeng, 25, menjalani pembedahan beberapa kali untuk mengubah wajahnya, dan menukar namanya kepada Jimin Cheong ketika cuba mengelak daripada dikesan detektif.
Terdahulu, Sarahat, mengimport dadah methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) ke negara itu dari Eropah ditangkap di sebuah kondominium mewah dekat daerah Bang Na. MDMA adalah ubat psikoaktif yang biasanya dikenali sebagai ekstasi atau Molly. Difahamkan, Sarahat melarikan diri sejak Disember tahun lalu.
Dia ditangkap selepas seorang pegawai polis yang menyamar berpura-pura berminat untuk bekerja sebagai ‘keldai dadah’ untuknya. Ujar media Thailand, pihak polis terkejut apabila melihat wajah terbaru Sarahat kerana tidak seperti wajah asal. Walau bagaimanapun, polis masih boleh mengecam wajah asalnya kerana lelaki itu pernah ditangkap tiga kali sebelum ini.
Beliau adalah raja dadah yang mengimport MDMA dari Eropah pada usia 25 tahun. Kami percaya terdapat lebih ramai suspek di negara asing. Kami akan meneruskan siasatan kami.
Sumber: The Straits Times