berita

Takut Ibu Marah Sebab Selipar Hilang, Budak 11 Tahun Reka Cerita Kena Culik Lelaki Bertopeng

November 10th, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Sekadar gambar hiasan

Gara-gara takut dimarahi ibu kerana selipar hilang ketika bermain, seorang kanak-kanak lelaki mendakwa dirinya diculik seorang lelaki bertopeng.

Budak reka cerita kena culik

Sekadar gambar hiasan

Memetik laporan Sinar Harian, pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa salah seorang anak kembarnya telah hilang pada 6 November 2021 yang lalu. Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, hasil siasatan mendapati kanak-kanak lelaki berkenaan yang berusia 11 tahun bersama seorang lagi kembarnya pergi ke kedai runcit untuk membeli barang.

Salah seorang anak pengadu telah masuk ke dalam kedai, manakala seorang lagi tunggu di luar kedai runcit tersebut. Apabila selesai membeli barang, anak pengadu mendapati kembarnya yang menunggu di luar kedai telah tiada dan bertindak pulang ke rumah memberitahu kepada ibunya berkaitan kehilangan kembarnya.

Berikutan daripada itu, ibu kanak-kanak terbabit telah bertindak mencari anak lelakinya sebelum membuat laporan polis. Namun kira-kira dua jam kemudian, kanak-kanak terbabit telah dijumpai oleh orang awam kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian dalam keadaan yang selamat.

Takut ibu marah sebab selipar hilang

Sekadar gambar hiasan

Ketika disoal, kanak-kanak terbabit mendakwa dia telah diculik seorang lelaki bertopeng ninja yang membawanya ke sebuah rumah sebelum dia melawan dan berjaya melarikan diri.

Namun hasil soal siasat oleh Ketua Polis Balai Permas Jaya bersama pegawai penyiasat kes, kanak-kanak tersebut memberitahu kejadian sebenar bahawa dia bermain kejar-kejaran dengan seorang budak lelaki sehingga kehilangan selipar. Bimbang dimarahi oleh ibu bapanya, kanak-kanak tersebut mendakwa dirinya telah dibawa lari.

Kes didapati tiada unsur jenayah dan diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA). Pihak polis seterusnya menafikan kejadian culik yang dilaporkan.

Sumber: Sinar Harian

SKIP THIS AD ×