Solekan wajah yang ringkas ke pejabat bukan sahaja mampu menimbulkan keselesaan untuk diri sendiri, malah ia turut memberikan keyakinan untuk anda berhadapan dengan orang di sekeliling.
Berikut merupakan 4 tips mudah dan ringkas untuk diaplikasikan oleh wanita bekerjaya. Solekan ini bukan sahaja ringkas, malah tetap menonjolkan keayuan wanita sebenar.
Kulit Licin (Smooth complexion)
Untuk membangkitkan aura “natural beauty,” seseorang individu haruslah memakai bedak asas yang berunsurkan cecair atau dikenali sebagai (liquid foundation). Bedak asas tersebut hendaklah disapu sekitar dahi, dagu dan hidung. Akan tetapi, sekiranya anda memiliki kulit jenis kering atau biasa, sapukan bedak dengan berhati-hati ketika waktu tengah hari. Manakala, bagi individu yang memiliki wajah berminyak, anda dinasihatkan untuk tekap atau bersihkan wajah dengan tisu. Ini bagi mengelakkan wajah anda kelihatan berkilat sekiranya dibiarkan begitu sahaja.
Sapuan Lembut Bulu Mata
Pemakaian maskara dikatakan mampu menyerlahkan lagi kecantikan seseorang wanita. Oleh itu, pemakaian rangkaian maskara dalam tona warna berbeza seperti coklat, kelabu, unggu gelap dan biru gelap mampu menyuntik elemen dramatik dalam penampilan harian anda.
Sentuhan Pemerah Pipi
Secara dasarnya tulang pipi harus diserlahkan dengan padanan pemerah pipi rona coklat cerah. Akan tetapi berhati-hati untuk pemakaian pemerah pipi daripada rona tembaga, ini kerana sekiranya padanan rona tersebut disalah aplikasikan, ia mampu membuatkan wajah anda kelihatan lebih tua daripada usia sebenar.
Kilauan Asli Di Bibir
Bagi menonjolkan elemen “natural beauty,” padanan gincu bibir rona coklat merupakan pilihan yang bijak. Namun begitu, sekiranya anda tidak memiliki gincu bibir rona coklat, anda juga boleh memilih rona “beige” atau merah jambu. Akan tetapi, elakkan daripada memakai gincu bibir yang memiliki kesan berkilat, kerana ia terlalu seksi untuk ke pejabat.