Penampilan pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta di Kuala Lumpur Fashion Awards (KLFA) 2021 yang diadakan di sebuah hotel terkemuka, petang semalam, telah mencuri tumpuan ramai.
Che Ta yang hadir sebagai ‘muse’ pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail serta menjadi penyampai trofi pada acara itu tampil berbeza apabila menutup mukanya dengan kain jaring atau ‘net’ yang ditinta dengan batu berlian berwarna perak.
Ia satu kelainan
Ironinya, ibu kepada tiga cahaya mata itu antara yang sentiasa menjaga penampilan dan bersolek cantik ketika berada di depan khalayak mahupun berkongsi kandungan gambar atau video di Instagram.
Namun, kali ini Che Ta bersetuju untuk menjadi ‘muse’ Ezuwan kerana melihat ia satu pengalaman berbeza seiring dengan era pandemik menuju endemik ini.
Kami memang berkawan baik. Malah saya rasa permintaannya untuk berfesyen macam ini bukan selalu atau seperti lazimnya. Jadi kenapa saya nak menolak. Ia satu kelainan.
Lagipun pelitup muka itu menggunakan kain jaring yang ada terang terang ada lubang atau ‘udara’. Memanglah saya boleh bernafas. Kalau guna kain yang bertutup semua tanpa ada ‘udara’, saya sendiri fikir banyak kali. Barangkali semput juga saya jadinya.
Cuma sedikit mencabar saya harus kekal dengan gaya sebegitu sepanjang majlis. Tetapi sesekali orang tak payah tengok muka kita dalam acara seumpama itu, why not. Telefon bimbit pun saya terpaksa abaikan ketika majlis berlangsung.
Sementara itu, Ezuwan yang sudah lapan tahun mengukuhkan jenama fesyennya percaya dan yakin Che Ta mampu ‘carry’ ilham dan imaginasi rekaannya pada acara yang turut mendapat kerjasama jenama Lexus itu.
Apabila diundang ke acara itu, nama Che Ta terlintas dan pantas bermain di minda. Cuma apabila dia bersetuju nak tutup wajahnya saya sendiri tak menyangka.
Semua tahu, dia antara selebriti yang mengutamakan penampilan diri dengan wajah siap bersolek cantik. Tapi dia jenis yang tak banyak songeh dan sempoi. Tiada istilah meniru atau dibayangi sesiapapun. Fesyen ini pendek kata kenalah dengan musim pandemik.
Kim K versi muslimah
Ibu kepada tiga orang cahaya mata itu turut berkongsi foto busana yang digayakan di Instagram (IG) miliknya. Menjengah di ruangan komen, rata rata melihat penampilan Che Ta menutup seluruh tubuh termasuklah bahagian muka mereka saling tak tumpah seperti gaya selebriti Hollywood, Kim Kardashian dan Kanye West.
Namun, ada juga segelintir yang menganggap fesyen itu seperti melemaskan selain mendakwa isteri kepada usahawan Zain Saidin itu sudah terikut dengan budaya barat.
Difahamkan, gaun berharga RM50,000 yang dijahit lebih 5000 butir batu berlian dan ‘chunky bead’ itu dikatakan memakan masa selama sebulan untuk disiapkan kerana serba serbi ‘hand made’. Sarung tangan dan pelitup muka rona sama masing-masing menggunakan ‘net’ juga bertatah berlian berwarna perak.
Ezuwan sendiri juga tak kalah apabila tampil dengan sut hitam berharga RM40,000 menggunakan fabrik broket dilengkapi 10,000 butir batu ‘chunky bead’ dan berlian jahitan tangan. Fabrik ‘net’ pelitup muka dan sarung tangan juga bertatah batu jenis sama.
Sebelum ini, selebriti sensasi, Janna Nick yang baru dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-34 dilihat mengenakan topeng muka seolah di dalam filem ‘Squid Game’ bersama kekasih hatinya, aktor Dini Schatzmann di acara tersebut.
Sumber: @rozitachewan1, @blackpepperproduction