Penyanyi kelahiran Singapura, Imran Ajmain kini tampil dengan karya baharu yang berjudul ‘Padam Dan Pergi’ selepas hampir lima tahun tanpa sebarang penghasilan lagu.
Artikel Berkaitan: Netizen Dakwa Terkenal Dengan 1 Lagu ‘One Hit Wonder’ Saja, Imran Ajmain Buka Mulut! – ‘Sebab Mu Tak Dengar 40 Lagu Lain’
Cipta perjalanan seni berbeza
Imran yang berkolaborasi dengan komposer muda, Ahmadul Amin berkata, pemisahan gaya muzik menerusi lagu terbaharunya itu adalah usahanya untuk meneroka sekali gus mencipta perjalanan seni yang berbeza berbanding sebelumnya.
Padam Dan Pergi adalah pemisahan daripada gaya biasa saya. Lagu ini mencerminkan perkembangan peribadi dan muzikal bagi saya, meneroka stail baru dalam bunyi dan penceritaan.
Saya terdetik nak lancarkan lagu ini setelah setahun memanggung di acara-acara indie apabila penontonnya semua hafal dan nyanyikan apa jua lagu yang dipersembahkan atas pentas bersama-sama penyanyinya. Ini untuk mereka semua.
Lebih mengujakan, pelancaran lagu baharunya ini juga selaras dengan perancangan konsert mini kedua yang bakal diadakannya di Singapura pada 12 Januari depan serta persembahan berskala sama di Kuala Lumpur pada tahun hadapan.
Penerbitan single ini diselaraskan secara strategik dengan konsert mini Malam Seribu Tahun Imran Ajmain yang akan datang di Singapura pada 12 Januari 2024. Konsert tersebut juga diusahakan nanti untuk penggemar di Kuala Lumpur.
Saya akan mempersembahkan lagu baharu ini sebagai sorotan malam konsert, menawarkan penggemar pengalaman secara langsung bunyi baru ini yang melambangkan pemisahan daripada balada lembut mendayu-dayu yang sinonim dengan saya.
Dalam pada itu, Imran memaklumkan bahawa lirik lagu yang ditulis merungkai hubungan kompleks yang tidak kena haluan serta menggambarkan dirinya sebagai seorang kekasih yang rentan mencari babak baru dalam hidupnya.
Kolaborasi dengan komposer muda berbakat seperti Ahmadul Amin ini menandakan pemisahan yang ketara daripada karya terdahulu saya dengan persembahan muzik bunyi fast-tempo pop rock yang dipacu oleh gitar elektrik.
Saya mahu mengajak pendengar bersama dalam perjalanan mengenal pahit manis cinta, menghapuskan masa lalu dan merangkul janji masa depan yang lebih cerah. Gitar elektrik mengambil peranan utama, menambah dimensi segar kepada repertoire muzikal saya.
Padam Dan Pergi merupakan pengakuan pertumbuhan dan sumpah janji seniman untuk memajukan seninya.
Untuk makluman, Konsert Malam Seribu Tahun Imran Ajmain merupakan pertunjukan pertama dalam siri persembahan artis serta band terdiri daripa Malaysia, Singapura, Indonesia yang dipanggil Satu Malam Di Singapura.
Siri konsert ini akan dianjurkan oleh Elmi Elmo dan Hashtag Media (Malaysia) bekerjasama dengan Gumbira dan A’Art (Singapura) di Victoria Theatre, Singapura.