Seorang lelaki di Makassar, Sulawesi Selatan didakwa membunuh isterinya sendiri selepas berlaku pertengkaran yang berpunca daripada tanda merah pada leher mangsa.

Suami tikam isteri

Menurut laporan media tempatan, kejadian tragis yang berlaku pada 14 Jun itu membabitkan suspek berusia 21 tahun yang dikenali sebagai SU dan isterinya, AN, 24.

Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Balai Polis Tamalate, Iptu Abdul Latief, pertengkaran bermula apabila suspek melihat kesan merah pada leher mangsa yang didakwa merupakan kesan ciuman.

Bagaimanapun, polis menjelaskan insiden tersebut bukan semata-mata berpunca daripada pengakuan mangsa sebaliknya konflik rumah tangga pasangan itu sudah lama berlaku.

Pasangan itu sering bertengkar disebabkan masalah kewangan kerana suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap. Malah, mangsa dikatakan beberapa kali menyuarakan hasrat untuk berpisah.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang duduk di dalam bilik rumah sewa sambil menggunakan telefon bimbit. Suspek kemudian menuju ke arah almari untuk mengambil sebilah badik sebelum menghampiri mangsa dari arah belakang dan menyerangnya.

Mangsa dipercayai ditikam sekali di bahagian leher sebelum mengalami kecederaan maut akibat serangan tersebut. Selepas kejadian, suspek meninggalkan lokasi dan melarikan diri ke rumah keluarganya bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa.

Suspek bagaimanapun berjaya diberkas hasil operasi yang dijalankan Pasukan Resmob Polis Sulawesi Selatan bersama Balai Polis Tamalate tidak lama selepas kejadian.

Kes kini disiasat mengikut Perkara 458 Undang-Undang Jenayah Indonesia (KUHP) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Sumber: Suara