Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-34 kembali lagi tahun ini. Acara anugerah hiburan pilihan peminat terunggul ini dijangka berlangsung pada 13 November depan.
Tarik diri daripada bertanding
Bagaimanapun, aktor kacak Zul Ariffin membuat keputusan untuk tidak bertanding sekaligus menarik diri daripada semua pencalonan ABPBH34.
Menerusi Instagram (IG) miliknya, Zul, 35, mengumumkan berita penarikan dirinya daripada bertanding dalam anugerah itu. Pemilik nama Zulkifli Ariffin menyatakan dia sudah memaklumkan keputusan itu kepada pihak Berita Harian.
Bismillah. Assalamualaikum semua. Kepada semua peminat-peminat yang sentiasa menyokong kerjaya saya, alhamdulillah di sini saya nak beritahu dan umumkan yang saya dah tarik diri daripada semua pencalonan #ABPBH34, dan saya dah hubungi pihak BH.
Kepada semua calon, saya ucapkan selamat berjaya dan buat para peminat yang disayangi, dapat rehat yang cukup.
Tak berhenti berlakon
Dalam pada itu, pelakon filem Sangkar menjelaskan dia tidak mempunyai niat untuk bersara daripada dunia lakonan. Katanya, dia hanya ingin fokus pada diri untuk menjadi insan yang lebih baik.
Jangan risau, saya tidak bersara dari dunia lakonan, hijrah atau apa pun.
Buat masa sekarang saya hanya ingin menjadi insan yang lebih baik daripada sebelum ini. Saya juga bersedia untuk panaskan enjin (lakonan). Banyak yang akan datang.
Sumber: Instagram @zul_ariffin