Gara-gara menegur supaya tidak membuat bising, seorang pesara maut akibat dilanggar kereta yang dipandu lelaki dipercayai mabuk, dalam kejadian di Kampung Padang, Jalan Pokok Mangga, semalam.
Pendarahan dalaman
Sekadar gambar hiasan
Menerusi laporan Harian Metro, mangsa yang berusia 57 tahun itu disahkan meninggal dunia pada pukul 2.04 petang semalam selepas kira-kira 11 jam bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, akibat pendarahan dalaman kepala, selain kecederaan pada bahagian badan dan kaki.
Menurut anak mangsa, kejadian itu berlaku kira-kira 12 tengah malam apabila dua lelaki minum arak di dalam sebuah kereta di parkir belakang sebuah restoran di Plaza Pandan Malim.
Kira-kira 2.40 pagi saya dan ayah terjaga dari tidur selepas terdengar bunyi muzik membingitkan dari arah kawasan parkir itu. Ayah kemudian pergi menegur mereka dengan baik sebelum kedua-dua lelaki itu beredar meninggalkan kawasan terbabit.
Dakwanya lagi, kira-kira 10 minit kemudian, kedua-dua lelaki terbabit datang semula dengan menaiki kereta sama sambil memasang muzik yang lebih kuat sebelum beredar meninggalkan kawasan itu.
Baru saja hendak baring, mereka sekali lagi datang membuat bising beberapa minit selepas itu membuatkan saya dan ayah keluar untuk meminta kedua-dua lelaki itu beredar. Namun, secara tiba-tiba kereta itu cuba merempuh saya, tapi mujur saya sempat mengelak dan berlari ke belakang sebuah restoran 24 jam di bangunan plaza berkenaan.
Saya kemudian lihat kereta itu berpusing dan menuju ke arah bapa yang tidak sempat mengelak dan hanya mampu berpaut di atas bonet hadapan dan terseret sejauh kira-kira 20 meter ke arah belakang kedai.
Tambah anak mangsa, dia menjerit meminta tolong dan berkejar ke arah ayahnya yang terjatuh dan berlumuran darah di belakang kepala, dipercayai akibat terhantuk pada tebing batu longkang sebelum kedua-dua lelaki itu terus memecut kenderaan dan meninggalkan lokasi.
Berikutan awal pagi, tiada jiran menyedari kejadian itu berlaku. Anak mangsa segera menghubungi ambulans yang membawa ayahnya ke Hospital Melaka.
Sumber: Harian Metro