Penyanyi Indonesia, Shae mendedahkan dirinya mengalami masalah pendengaran serius apabila telinga kirinya tidak lagi berfungsi sepenuhnya.

Artikel Berkaitan: Shae Kecewa Tidak Dapat Nyanyi Lagu Sayang, Dedah Terikat Isu Perundangan – ‘Rasa Karier Dah Tamat’

Pekak telinga kiri

Shae atau nama sebenar Sheryl Genting, 31, berkata, dia mula menyedari masalah itu sejak usia lapan tahun, namun memilih untuk menyembunyikan daripada ibu bapa kerana tidak mahu mereka bimbang.

Sejak usia 8 tahun, saya mulai sedar susah untuk mendengar. Dari duduk di bahagian belakang dalam kelas, saya pindah ke bahagian depan.

Saya pada mulanya merahsiakan masalah telinga daripada ibu bapa sehingga usia saya 16 tahun, barulah saya beritahu kepada ibu bapa bahawa mengalami masalah pendengaran.

Shae berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media konser Gegar Vaganza 12 minggu ketiga yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, pada Ahad.

Bercerita lanjut, pelantun lagu Sayang itu memberitahu selepas melakukan pemeriksaan bersama doktor pakar, telinga kirinya disahkan tuli.

Saya berjumpa dengan tiga doktor pakar telinga dan ketiga-tiga mereka mengesahkan memang telinga kiri saya tidak berfungsi, telinga kiri saya tuli (pekak).

Doktor maklumkan pendengaran manusia yang normal adalah antara julat 0 hingga 25, tetapi telinga kiri saya 112. Maksudnya mati total, langsung tidak boleh dengar.

Doktor kata boleh lakukan pembedahan, namun tidak memberi jaminan bahawa telinga saya boleh sembuh semula atau sebaliknya.

Tambah Shae, dia tidak menafikan masalah tersebut kadang-kala mengganggu mutu persembahan dan nyanyiannya.

Sebagai penyanyi, kadang kala masalah itu menganggu persembahan dan menyebabkan saya tidak boleh menyanyi dengan baik.

Tetapi untungnya zaman sekarang ada alat bantuan untuk penyanyi iaitu ‘ear monitar’, selagi alat itu berfungsi dengan baik, tidak menjadi masalah untuk saya.