Pasangan selebriti Amyra Rosli dan Amar Baharin mencuri tumpuan apabila dipilih sebagai Duta Ramadan & Raya 2026, susulan keperibadian mereka yang melambangkan keluarga moden seimbang antara kerjaya, keluarga dan kehidupan rohani.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Amyra Rosli Hadiahkan Kereta SUV Kepada Ibu Bapa Sempena ‘Anniversary’ – ‘Terima Kasih Adik-Adik Tolong Rahsiakan’

Artikel Berkaitan: Amyra Rosli Hidang Air Sedap Setiap Kali Bergaduh Dengan Amar Baharin – ‘Kena Pandai Ambil Hati, Rendahkan Ego’

Keluarga harmoni

Muncul bersama anak-anak, kehadiran keluarga kecil ini nyata menyerlahkan aura kemesraan, kesederhanaan dan nilai kekeluargaan yang menjadi tunjang utama tema Ramadan dan Syawal tahun ini.

Amyra dan Amar dilihat sebagai simbol keluarga moden yang seimbang antara kerjaya, keluarga dan kehidupan rohani.

Pengumuman tersebut dibuat dalam acara Gema Ramadan hasil kolaborasi antara TV Al-Hijrah dan jenama busana ibadah premium, Siti Khadijah, yang berlangsung selama dua hari bermula 30 hingga 31 Disember 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Konvensyen ini menghimpunkan pelbagai pengisian kerohanian termasuk ceramah motivasi, bengkel solat serta persembahan nasyid dan artis jemputan.

Sementara itu, menurut penganjur, pemilihan Amyra dan Amar sebagai wajah kempen tahun ini melambangkan nilai keharmonian rumah tangga, kesopanan serta keindahan hidup berkeluarga yang seiring dengan semangat Ramadan.

Turut diperkenalkan dalam acara sama ialah kempen JEDA, Damai Dalam Waktu, satu inisiatif yang mengajak masyarakat memperlahankan langkah dan kembali mencari ketenangan diri, keluarga serta hubungan dengan Ilahi, khususnya menjelang Ramadan yang penuh keberkatan.

Sebagai pelengkap, koleksi Ramadan & Raya 2026 bertemakan MUSHAFE Warisan Darul Iman turut diperkenalkan, diinspirasikan daripada Mushaf Terengganu yang sarat dengan nilai seni dan sejarah Islam. Koleksi ini menampilkan rekaan elegan dengan sentuhan moden dan klasik.