Penyanyi, Zizi Kirana menepis dakwaan netizen yang mengatakan dia seorang yang kuat cemburu sehingga sentiasa menemani suami, Yusuf Bahrin sewaktu berada di set penggambaran.
Bukan selalu teman suami
Menurut Zizi, dia hanya sekali sekala menemui suaminya di lokasi penggambaran terutama apabila mempunyai masa lapang.
Saya tidak tahu bagaimana perkara ini timbul kerana bukan selalu saya teman Yusuf di set penggambaran. Sesekali itu adalah, tetapi tidak selalu kerana saya juga ada kerja yang perlu diselesaikan. Jika ada kelapangan dan tiada apa-apa urusan, saya akan ikut suami. Itupun kalau dia pelawa saya temankan. Memang kami saling menemani jika tidak terikat dengan apa-apa tugasan. Kalau Yusuf tidak ada penggambaran, dia akan temankan saya ke tempat persembahan. Sementara masih berdua, kami banyakkan masa bersama-sama, tetapi bukan sebab cemburu.
Tambah penyanyi berusia 37 tahun itu, dia pelik mengapa perkara tersebut menjadi isu sedangkan dirinya tidak menganggu komitmen suaminya sebagai pelakon.
Nak kata ada orang dengki, tidak boleh juga. Mungkin pihak yang sampaikan perkara ini mahu berborak dengan orang lain, tetapi tiada topik untuk dibincangkan. Jadi, dia bercakap mengenai kami. Saya pun tahu batas kerana saya dan Yusuf sudah sedia faham kerjaya masing-masing. Lagipun, orang yang saya temankan itu suami sendiri. Takkan itu menjadi kesalahan?