berita

Terengganu Jadi Lokasi Majlis Rumah Terbuka Malaysia. Buka Peluang Kenali dan Hargai Warisan dan Budaya Negara

May 19th, 2022 | by Emir
Kini Trending

Majlis rumah terbuka sememangnya antara salah satu acara yang dinanti-nantikan oleh semua orang tanpa mengira bangsa pada setiap kali perayaan Aidilfitri.

Majlis sebegini bukan sahaja mampu merapatkan silaturahim antara rakyat, tetapi juga mampu membuka peluang kepada orang ramai untuk lebih mengenali kesenian dan budaya masyarakat berbilang kaum.

Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) anjuran Kementerian Pelancongan Seni dan Kebudayaan (MOTAC) contohnya menjadi salah satu ruang kepada rakyat untuk lebih mengenali dan menghargai warisan negara. Jom kami kongsikan apa yang menarik di Majlis Rumah Terbuka ni!

Kaya dengan budaya dan adat

Setelah dua tahun Majlis Rumah Terbuka Malaysia tidak dapat diadakan ekoran pandemik COVID-19, penganjurannya pada tahun ini semestinya menarik kehadiran seluruh Keluarga Malaysia dengan sajian pelbagai aktiviti menarik!

Memilih negeri Terengganu yang kaya dengan pemandangan dan lokasi menarik seperti Masjid Kristal, Pantai Batu Buruk, Jambatan Angkat dan beberapa pulau yang cantik, MOTAC percaya MRTM mampu mempromosikan keunikan Malaysia di mata dunia.

Selain dari menjadi maljlis keramaian, majlis ini juga akan turut mengetengahkan tradisi menyambut perayaan Aidilfitri sekaligus dapat menjadi platform yang mampu menyemarakkan industri pelancongan Malaysia.

Rumah terbuka norma baharu

Menyedari bahawa negara masih lagi berada di dalam fasa peralihan endemik, MOTAC sentiasa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membantu menjayakan majlis rumah terbuka ini.

Jadi korang yang menghadiri MRTM haruslah sentiasa mematuhi amalam SOP yang telah ditetapkan sebagai usaha membendung wabak COVID-19.

MRTM juga merupakan penanda aras bagi pelaksanaan program-program MOTAC akan datang yang akan menggunapakai SOP yang sama.

Rewang Raya dan Kenduri Rakyat

Semasa program MRTM dijalankan, Keluarga Malaysia berpeluang untuk sama-sama bergotong-royong menyediakan juadah semasa aktiviti Rewang Raya seterusnya beramai-ramai menikmati juadah di Kenduri Rakyat di Dataran Drawbridge, Kuala Terengganu.

Banyak pameran dan aktiviti kesenian

Antara aktiviti utama yang akan dijalankan di MRTM ini termasuklah pameran dan demonstrasi dari MOTAC serta persembahan kesenian yang bakal membawakan pelbagai jenis tarian, muzik dan nyanyian dari pelbagai bangsa.

Bukan tu je tau, korang juga berpeluang untuk menyertai pelbagai pertandingan serta kelas-kelas masakan warisan di sana!

Orang ramai dijemput bagi memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia yang diadakan bermula 19 sehingga 21 Mei 2022 bertempat di Dataran Drawbridge, Kuala Terengganu.

Untuk maklumat lanjut, korang boleh layari laman web MOTAC sekarang!

SKIP THIS AD ×