Selain misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada Mac 2014, persoalan membabitkan insiden rampasan pesawat MH653 yang berlaku pada 4 Disember 1977 juga masih belum dapat dirungkai sehingga kini. Pesawat Boeing 737-2H6 itu telah nahas di Tanjung Kupang di Johor selepas ‘dipaksa’ meneruskan penerbangan ke Singapura. Insiden ini merupakan peristiwa pertama rampasan pesawat yang berlaku di Malaysia.
Pesawat ‘dirampas’
Menurut sumber, pesawat yang terdiri daripada 93 penumpang dan tujuh kru pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang seperti mana dijadualkan berlepas pada jam 7.21 malam.
Ketika kapal terbang tersebut menuju turun ke aras 4,000 kaki menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, juruterbang melaporkan pesawat telah ‘dirampas’ dan didesak meneruskan penerbangan ke Singapura.
Terdengar das tembakan
Menurut siasatan dari black box, penyiasat mempercayai bahawa ketua juruterbang iaitu Captain G. K Ganjoor terdengar ketukan pintu kokpit sebelum membenarkan co-pilot membuka pintu. Suspek segera masuk dan menjerit dengan memberi arahan supaya juruterbang memutuskan semua rangkaian radio.
Kapten Ganjoor tak menunjukkan sebarang panik. Dia hanya bertanyakan ke mana destinasi yang mahu ditujui perampas tersebut kerana petrol hanya cukup untuk sampai ke Singapore sahaja. Suspek hanya bersetuju tanpa berfikir panjang dan mengarahkan juruterbang membuat laporan pesawat akan menuju ke Singapura.
Kapten Ganjoor menyuruh pramugari tenangkan semua penumpang untuk tidak panik dan memberi servis layanan seperti biasa. Pada jam 8.33 malam, sedas tembakan dilepaskan ke arah co-pilot. Kedengaran suara Kapten Ganjoor merayu berkali-kali sebelum suspek melepaskan tembakan ke arahnya pula. Suspek didakwa telah menembak kedua-dua juruterbang di dalam pesawat sebelum menembak diri sendiri.
Suspek tersebut difahamkan cuba mengemudi pesawat itu selepas kedua-dua juruterbang dibunuh. Namun, usaha itu gagal dan menyebabkan pesawat menjunam secara mendadak sebelum terhempas ke dalam kawasan paya berhampiran Tanjung Kupang, Johor. Tragedi itu dipercayai berlaku sekitar jam 8.36 malam. Identiti dan motif perampas pesawat itu tidak diketahui dan masih menimbulkan spekulasi sehingga ke hari ini.
100 orang terbunuh
Insiden tersebut telah menyebabkan 100 orang termasuk krew terkorban. Antara individu penting yang terbunuh dalam insiden tersebut ialah Menteri Pertanian iaitu Datuk Seri Ali Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya iaitu Tan Sri Mahfuz Khalid dan Duta Besar Cuba ke Jepun iaitu Mario Garca Inchustegui.
Kesemua mangsa nahas tersebut telah selamat dikebumikan di Memorial Tragedi Tanjung Kupang di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.
Teori spekulasi nahas
Masih menjadi spekulasi terhadap nahas MH653 di Tanjung Kupang, Johor itu. Ada segelintir penyiasat mendakwa beberapa teori konspirasi yang wujud termasuk militan Vietnam. Tuduhan ini dibuat kerana Singapura menangkap 3 militan Vietnam yang bertanggungjawab merampas sebuah pesawat Air Vietnam.
Malah, ada juga teori dipercayai berkaitan pengganas dari Cuba kerana Mario García Incháustegui yang berada di dalam pesawat MH653 ketika itu.
Sumber: soscili.my, wiwiwand, mforum