berita

Terima Darjah Panglima Setia Mahkota, Dr Noor Hisham Kini Bergelar ‘Tan Sri’!

August 17th, 2020 | by Amat
Kini Trending

Sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2020 kepada beberapa individu terhormat.

Antara tokoh yang menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham.

829 tokoh terima anugerah

Seramai 829 tokoh terhormat menerima Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan yang berlangsung di Istana Melawati, Putrajaya hari ini.

Ketua Hakim Negara iaitu Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu Tan Sri Dr Arshad Ayub merupakan tokoh utama menerima anugerah tersebut.

Kedua-dua mereka merupakan tokoh utama dikurniakan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’.

Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat merupakan Ketua Hakim Malaysia yang ke sepuluh. Beliau merupakan wanita pertama yang memegang jawatan di dalam jabatan kehakiman tertinggi di negara.

Manakala, Tan Sri Dr Arshad Ayub pula merupakan salah seorang pendidik Malaysia. Beliau antara tokoh yang banyak berjasa kepada institusi awam iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara pada tahun 1975 hingga 1977.

Dianugerahkan Darjah Panglima Setia Mahkota

Sementara itu, Ketua Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut dianugerahkan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM). Antara penerima PSM yang lain termasuk Presiden Mahkamah Rayuan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Panglima Tentera Darat Jeneral, Panglima Tentera Udara Jeneral, bekas Timbalan Ketua Polis Negara dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Antara barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Dr Norhayati Rusli turut dikurniakan Johan Setia Mahkota (JSM) bersama 37 individu lain.

Datuk Dr Noor Hisham bersama pasukan KKM telah membuktikan kelayakan untuk menerima anugerah sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong. Tidak dinafikan, pasukan KKM telah mengendalikan kes berhubung Covid-19 dengan jayanya di negara kita.

Sumber: BERNAMA, RTM

SKIP THIS AD ×