berita

Terima Pinangan Jejaka Misteri, Dapatkah Nabila Razali Cari Cinta Hati Sebenar Dalam Kebaya Kasut Kanvas?

August 7th, 2020 | by AnisAffandi
Shout Out!

Bimbang anak perempuannya bakal bergelar ‘andartu’ dek kerana terlalu sibuk bekerja, seorang ibu menerima lamaran mengejut daripada seseorang jejaka. Lebih aneh, anak perempuannya itu tidak diberitahu siapakan gerangan jejaka bertuah tersebut dan perlu mencari sendiri cinta hatinya itu!

Itu antara cabaran terbesar yang bakal dilalui oleh Nabila Razali menerusi watak Suria dalam drama terbaru TV3, Kebaya Kasut Kanvas.

Hanya 10 episod

Nabila Razali yang akan memegang watak utama sebagai Suria Juliana dibantu oleh aktor terkenal, Fahrin Ahmad yang memegang watak sebagai Gary. Episod pertama drama ini akan mula ditayangkan bermula 12 Ogos selama 60 minit pada pukul 6 petang setiap Rabu dan Khamis. Drama yang dijangka tamat pada 10 September ini hanya ditayangkan sebanyak 10 episod sahaja tau!

Drama ini mengisahkan tentang seorang wanita bernama Suria yang terkenal dengan kebaya dan kasut kanvasnya dan berkecimpung dalam dunia fesyen. Bergenre komedi romantik, Suria hanya mempunyai 20 hari untuk mencari siapakah bakal suaminya dengan hanya klu dia mengenali lelaki tersebut. Tanpa pengetahuannya, ibunya iaitu Cik Pah yang dipegang oleh Rozita Che Wan telah menerima pinangan seorang lelaki.

Dr. Say dan Haqiem Rusli terlibat

Drama rantaian ini juga melibatkan beberapa pelakon terkenal lain seperti Julia Farhana yang memegang watak Hanna, kawan baik Suria dan Syafi Tee sebagai Azlan yang merupakan kawan baik kepada Gary.

Antara cameo yang terlibat ialah Dr. Say Shazril sebagai Dr. Zuki, Haqiem Rusli sebagai Que, Malek Mccrone sebagai Ameer, Sean LJE sebagai Taj, Ikmal Amry sebagai Daniel Hisham, Ismail Izzani sebagai Mikail dan Azrel Ismail sebagai Ustaz Azim.

Kebaya Kasut Kanvas juga bakal menampilkan pelakon baru, Ash Nordin yang juga merupakan salah seorang kakitangan Ohbulan! Jangan lupa saksikan Kebaya Kasut Kanvas bermula 12 Ogos di TV3 ya!

SKIP THIS AD ×