berita

Tersarung Cincin Lamaran Tanpa Sengaja, Shiha Zikir ‘Dihantui’ Perisik Cinta Tak Diundang!

September 23rd, 2021 | by Iera Zahirah
Shout Out!

Drama terbaru TV3 iaitu Perisik Cinta Tak Diundang ditayangkan bermula 21 September 2021, setiap Isnin hingga Jumaat pukul 7.00 malam di slot Akasia TV3 dan turut disiarkan melalui perkhidmatan penstriman Viu secara eksklusif pada 8.00 malam. Drama bersiri 12 episod terbitan Orangetree Production Sdn. Bhd. ini diarahkan oleh Mohd Azmi.

Medina terjumpa dengan Niyaz

Drama bersiri ini diinspirasikan daripada novel karya Puteri Aqish yang bertajuk Perisik Cinta Tak Diundang dengan menyaksikan barisan pelakon hebat seperti Andi Bernadee, Shiha Zikir, Hafidz Roshdi, Bella Astillah, Wani Kayrie, Norish Karman, Esma Daniel, Fazlina Ahmad Daud dan ramai lagi.

Drama Perisik Cinta Tak Diundang ini mengisahkan seorang wanita yang dikenali Medina Mikayla (Shiha Zikir) yang tinggal bersama ibunya, Mak Tah dan adiknya, Anida di sebuah kampung. Sementara menunggu peluang pekerjaan, Medina yang merupakan graduan kulinari telah menyara keluarganya dengan menjual nasi lemak serta kuih-muih di kampung.

Kehadiran Niyaz Aqasha (Andi Bernadee) di resort milik ayahnya Tuan Muhsin di kampung Medina telah menjadi titik pertemuan antara Medina dan Niyaz. Selepas itu, mereka sering terjumpa. Namun, pelbagai peristiwa lucu telah berlaku antara mereka.

Medina tersarung cincin lamaran keluarga Tuan Muhsin?

 

Setelah merasa masakan Medina, akhirnya Tuan Muhsin mengambil Medina untuk bekerja di restorannya di Kuala Lumpur. Tuan Muhsin meminta Niyaz menguruskan restoran itu dan boleh mengenali Medina. Niyaz memberi syarat dia ingin ‘merisik’ perangai dan hati budi Medina dulu. Niyaz juga meminta Tuan Muhsin merahsiakan identitinya dan hanya mahu menjadi pekerja biasa di situ.

Mereka mula mengenali antara satu sama lain dan semakin rapat. Medina juga memutuskan hubungan dengan teman lelakinya, Firas (Hafidz Roshdi) kerana sikap barannya yang susah dikawal. Pada masa yang sama, Tuan Muhsin telah masuk meminang Medina untuk Niyaz. Tanpa sengaja, Medina telah tersarung cincin lamaran Tuan Muhsin.

Medina terkejut apabila mengetahui itu adalah cincin lamaran untuknya kerana dia tidak bersedia menerima lamaran dan dia tak kenal siapa anak Tuan Muhsin itu.

Apakah akan terjadi selepas itu? Jangan lupa untuk menyaksikan Drama Perisik Cinta Tak Diundang di slot Akasia setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam hanya di TV3. 

SKIP THIS AD ×