Tertidur sehingga terlepas waktu solat Subuh mungkin pernah berlaku kepada sesetengah individu. Namun, timbul persoalan mengenai cara menunaikan solat tersebut selepas terjaga, sama ada perlu dilakukan dengan niat tunai atau qada.

Artikel Berkaitan: ‘Jangan Jadikan Solekan Alasan Untuk Qada Solat’ – Ustazah Asma’ Harun Titip Pesanan Buat Para Pengantin

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Jika Solat Fardhu Belum Qada, Kita Tak Boleh Lakukan Solat Tarawih? Ini Penerangan Ustaz Azhar Idrus

Tunai atau Qada?

Menerusi perkongsian di Facebook, Ustazah Asma’ berkata menurut mazhab Syafi‘i, seseorang yang tertidur sehingga terlepas waktu solat Subuh wajib mengqada solat tersebut sebaik sahaja tersedar.

Namun, solat yang ditunaikan selepas itu hendaklah diniatkan sebagai solat qadha, bukannya solat tunai.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa’, ayat 103 yang bermaksud: Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman pada waktu-waktu yang telah ditentukan.

Ustazah Asma’ turut menjelaskan bahawa sekiranya seseorang benar-benar tertidur tanpa sengaja atau terlupa sehingga terlepas waktu solat, dia tidak berdosa. Namun, kewajipan untuk mengqada solat tersebut tetap tidak gugur.

Ulama mazhab Syafi’i memperincikan perkara ini dengan menyatakan bahawa disunatkan menyegerakan qadha bagi solat yang tertinggal kerana uzur seperti tidur atau terlupa. Adapun jika solat ditinggalkan tanpa uzur, maka wajib disegerakan mengqadha’nya menurut pandangan yang lebih sahih, supaya tanggungannya segera terlepas.(Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 2/138)

Majoriti fuqaha berpendapat bahawa wajib bagi sesiapa yang tertidur atau terlupa solat untuk mengqadha’ solat tersebut dengan segera, dan haram melengah-lengahkannya. (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/15)

Ustazah Asma’ berkata, orang yang benar-benar tertidur tanpa sengaja tidak dianggap berdosa berdasarkan hadis Rasulullah SAW. Antaranya, sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, yang bermaksud:

Sesiapa yang terlupa solat, maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat akannya.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah RA pula, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa kecuaian bukan berlaku ketika seseorang sedang tidur, sebaliknya ketika berada dalam keadaan sedar.

Justeru, sesiapa yang tertidur atau terlupa sehingga terlepas waktu solat hendaklah menunaikannya sebaik sahaja tersedar atau teringat. Namun, hukum berbeza sekiranya seseorang dengan sengaja mengambil ringan terhadap kewajipan solat.

Sebagai contoh, individu yang tidak berusaha untuk bangun, sengaja mematikan penggera atau tidur dalam keadaan mengetahui bahawa dirinya berkemungkinan besar akan terlepas waktu solat.

Tidak ada kecuaian ketika tidur. Sesungguhnya kecuaian itu berlaku ketika seseorang berada dalam keadaan sedar. Maka sesiapa yang terlupa solat atau tertidur daripadanya, hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat. (Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/526)

Dalam keadaan tersebut, individu berkenaan berdosa kerana cuai menjaga kewajipan solat dan wajib bertaubat kepada Allah SWT selain segera mengqadha solat yang ditinggalkan.

Sumber: Facebook Ustazah Asma’ Harun