berita

Tertinggal 10 Jam Dalam Kereta, Kanak-Kanak 4 Tahun Meninggal Dunia

August 14th, 2020 | by Amat Larbsib
Kini Trending

Satu lagi insiden melibatkan seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan. Dipercayai mangsa berusia empat tahun itu tertinggal di dalam kenderaan ayahnya tanpa disedari sebelum ayah pergi ke tempat kerja. Memetik laporan Harian Metro, kejadian tersebut mula disedari ayahnya selepas pulang dari kerja kira-kira jam 6.20 petang semalam.

Sedang tidur di tempat duduk belakang

Gambar sekadar hiasan

Mangsa kanak-kanak perempuan itu meninggal dunia selepas tertinggal di dalam kereta bapanya di tempat kerja di Bukit Makmur, Sungai Lalang di Sungai Petani, Kedah. Menurut laporan Ketua Polis Daerah Kuala Muda iaitu Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata mangsa dipercayai ditinggalkan di dalam kenderaan hampir 10 jam dalam keadaan tingkap tertutup dan enjin kereta dimatikan.

Insiden tersebut mula disedari ayahnya sendiri ketika pulang ke rumah pada 6.20 petang.

Sebelum itu bapa mangsa berusia 30-an itu menghantar kakak mangsa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Bayu, Sungai Petani pada 7.30 pagi dan terus ke tempat kerjanya di Bukit Makmur, Sungai Lalang.

Bapa mangsa terlupa bahawa mangsa berada di dalam kereta dan sedang tidur di bahagian tempat duduk belakang. Mangsa sepatutnya dihantar ke rumah neneknya di Kampung Bukit, Sungai Pasir sebelum lelaki itu ke tempat kerja.

Mangsa tidak sedarkan diri

Tambah Ketua Polis Daerah Kuala Muda lagi, bapa mangsa bekerja sebagai pemandu lori itu keluar ke beberapa kawasan sebelum pulang semula ke kilang pada sekitar 4.30 petang hari kejadian. Setiba di kilang, bapa mangsa masuk ke dalam kilang dan menguruskan kerja di dalam bangunan sebelum pulang ke rumah.

Ketika ingin pulang, bapa mangsa melihat mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian tempat duduk belakang kereta.

Lelaki itu terus membuat panggilan kecemasan untuk memaklumkan kejadian itu, bagaimanapun, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia.

Sumber: Harian Metro