Pempengaruh dan pelakon, Aizat Saha berasa teruja apabila dicalonkan dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) kali ke-37.

Pertama kali tercalon

Menurut Aizat, dia tidak menjangka akan sebaris dengan nama-nama besar seperti Jazmy Juma, Zarif Ghazzi, Daniesh Suffian, Hazeeq Dean dan ramai lagi.

Saya sangat bersyukur dan teruja melihat nama saya pertama kali dicalonkan dalam ABPBH. Saya tak pernah menjangka yang akan dicalonkan dalam anugerah ini.

Saya bersyukur atas peluang yang diberikan oleh ABPBH.

Meskipun berasa sukar untuk membolos Top 5, Aizat, 30, tidak berasa patah semangat sebaliknya bersyukur kerana diberi peluang untuk bertanding dalam satu anugerah berprestij ini.

Melihat dari senarai-senarai pencalonan dalam kategori itu, untuk bolos ke Top 5 agak tipis. Nama-nama lain sangat besar dalam industri jika ingin dibandingkan dengan saya.

Saya masih baru tetapi saya tetap akan cuba sedaya upaya untuk berjuang. Semoga ada rezeki untuk membolos Top 5.

Bagi exposure

Dalam pada itu, pemilik nama Mohd Aizat Saharuddin menyatakan pencalonan ini memberi satu impak besar dalam perjalanan karier seninya.

Kalau ada rezeki untuk saya memenangi, alhamdulillah. Tetapi kalau tak menang, insya-Allah rezeki ada di tempat lain. Usaha dulu dan berikan yang terbaik.

Saya rasa pencalonan ini banyak membantu dalam karier seni saya. Apabila dicalonkan dalam satu anugerah yang besar seperti ini, akan memberi exposure yang sangat besar dalam karier seni saya.

ABPBH 37 mempertandingkan 16 kategori utama termasuk Penyanyi Popular, Artis Baharu Popular, Aktor/ Aktres Popular, Pengacara TV Popular dan Artis Komedi Popular. Turut diperkenalkan, lima kategori Ekstra! iaitu Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Lagu Paling Boom Popular, Artis Kontroversi Popular dan Seller Terpaling Popular.

Trofi utama, Bintang Paling Popular ABPBH 37, akan diberikan kepada calon dengan undian tertinggi bersama markah juri profesional, manakala Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat turut disediakan bagi menghargai jasa tokoh seni.

Undian boleh dibuat mulai hari ini hingga 9 November 2025 melalui laman web rasmi www.abpbh.com.my, dengan kombinasi 70 peratus undian peminat dan 30 peratus juri profesional.