Baru-baru ini, SAJI, sebuah jenama produk makanan tempatan keluaran FGV Holdings Berhad (FGV) telah dinobatkan sebagai ‘Jenama Terunggul dengan Pertambahan Pembeli Terbanyak pada tahun 2022 (Top Outstanding Brand with the Most Incremental Shoppers in 2022) oleh KANTAR.
Sejak tahun 2022, SAJI telah menjadi pemain utama pasaran tempatan dengan mempelbagaikan jenis produk syarikat daripada minyak masak ke produk makanan lain seperti krimer, mi segera, sos masakan, santan dan banyak lagi melalui jenama barangan seperti SAJI, ADELA, SERI PELANGI, GULA PRAI, LADANG’57 dan BRIGHT COW.
Untuk pengetahuan korang, anugerah ini adalah sebagai pengiktirafan untuk SAJI bagi peningkatan tahunan bilangan pembeli di Malaysia sebanyak 5.4% bagi tahun 2022.
Kejayaan ini juga merupakan kejayaan kedua untuk SAJI setelah dinobatkan sebagai ‘Jenama Terpantas Berkembang Dekad Ini’ (FastestGrowing Brand of the Decade) pada tahun lalu, bagi perkembangan sebanyak 177% dalam indeks Titip Capaian Pengguna (CRP) antara tahun 2012 dengan jumlah 8.9 juta hingga tahun 2021 dengan jumlah 24.7 juta.
Anugerah-anugerah ini membuktikan kemajuan berterusan jenama SAJI, peningkatan dalam penerimaan pengguna serta perluasan pasaran produknya.
Menurut Dato’ Nazrul Mansor, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, “Penerimaan anugerah berprestij ini dan pertumbuhan berterusan SAJI membuktikan komitmen Kumpulan FGV untuk menjadi syarikat makanan Malaysia terkemuka dengan visi kami untuk memperkenalkan produk makanan dan tani yang lestari ke serata dunia.
Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pembeli setia produk kami kerana menjadikan SAJI sebagai jenama pilihan mereka sekaligus memacu kami ke hadapan dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kami. Dengan sokongan para pembeli di belakang kami, kami bersemangat untuk maju ke hadapan dan memberi impak positif dalam industri makanan negara.”
Dalam pada itu, FGV juga berhasrat untuk mencapai matlamat syarikat bagi memastikan sekurang-kurangnya 50% barang masakan di dapur-dapur Malaysia adalah terdiri daripada pelbagai produk keluaran FGV, menjelang tahun 2030.
FGV lancar kempen ‘SAJI Terima Kasih Malaysia’ sebagai tanda penghargaan kepada pembeli
Jelas Shammim Azad Kamruzaman, Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil Products Sdn. Bhd., “Kejayaan SAJI adalah berkat sokongan pembeli setia kami. Sebagai tanda berterima kasih, FGV akan melancarkan kempen ‘SAJI Terima Kasih Malaysia’ sebagai penghargaan kami kepada pembeli yang setia menyokong kami selama ini.
Kempen ini bertujuan untuk mengukuhkan kenangan dan emosi yang dibawa jenama SAJI kepada pembeli setia bagi memupuk hubungan berkekalan,” katanya.
Lebih menarik, kempen yang akan dilancarkan pada bulan Ogos ini juga menawarkan pelbagai tawaran hebat untuk korang nikmati seperti promosi istimewa, diskaun produk, hadiah istimewa, tawaran eksklusif serta video-video menarik di media sosial.
Inisiatif ini juga adalah sebagai tanda komited FGV dalam memenuhi permintaan pasaran yang meningkat bagi produk berkualiti dan berkhasiat pada harga berpatutan melalui jenama barangan pengguna di bawah FGV.
FGV selaku salah satu pengeluar produk makanan utama Malaysia terus memainkan peranan penting dalam menyokong agenda sekuriti makanan negara dengan membawa produk berkualiti dan berkhasiat pada harga yang berpatutan kepada semua rakyat Malaysia.