Larian menara terbesar di dunia bakal kembali pada Ogos ini, apabila Fresh Events Asia mengumumkan IHH Healthcare Malaysia sebagai Rakan Penaja Utama bagi The IHH Sky Race™ | Merdeka 118.

Artikel Berkaitan: Disertai Lebih 10,000 Pelari, Sunway-Rapid KL Good Run 2024 Berjaya Raih RM430,000 Sumbangan

9,000 peserta

Berlangsung pada 22 dan 23 Ogos ini, perlumbaan itu akan menyaksikan penyertaan sehingga 9,000 peserta di Merdeka 118 yang juga bangunan tertinggi di Malaysia dan kedua tertinggi di dunia, untuk satu pengalaman unik yang menggabungkan kecergasan, pencapaian yang menawarkan pemandangan paling memukau di Kuala Lumpur.

Susulan kejayaan edisi sulungnya, acara ini kembali dengan format dua hari yang lebih besar, membolehkan lebih ramai peserta berbanding sebelum ini merasai sendiri pengalaman menuju ke Aras 118 melalui 118 tingkat dan 2,845 anak tangga.

Ketika ditemui OhBulan!, Pengarah Urusan Fresh Events Asia merangkap Pengarah Perlumbaan bagi The IHH Sky Race™ | Merdeka 118, Jeffrey Ross berkata sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

Sambutan orang ramai terhadap acara tahun ini amat memberangsangkan.

Apa yang bermula sebagai visi untuk mencipta acara larian menara bertaraf dunia di salah satu bangunan paling ikonik di dunia, kini telah berkembang menjadi acara sukan penyertaan massa yang paling dinanti-nantikan di Malaysia.

Dengan penyertaan IHH Healthcare Malaysia sebagai Rakan Penaja Utama bagi tempoh tiga tahun akan datang, kami teruja untuk membawa acara ini ke tahap yang lebih tinggi, mencipta pengalaman yang menyemarakkan semangat peserta dari semua peringkat kecergasan untuk mencabar diri, meraikan pencapaian dan menikmati Merdeka 118 dengan cara yang benar-benar unik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Dr Kamal Amzan pula berkata kesihatan yang baik perlu dipupuk sejak awal sebelum seseorang memerlukan rawatan di hospital.

Ia bermula dengan pilihan harian kita, termasuk kekal aktif dan mencabar diri untuk banyak bergerak.

The Sky Race™ adalah peringatan bahawa kemajuan berlaku selangkah demi selangkah. Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk mencabar diri mereka dan menyedari bahawa kesihatan yang lebih baik, sama dengan setiap pendakian yang hebat, bermula dengan langkah pertama.

Sebagai salah satu penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan bersepadu yang terkemuka di dunia, kerjasama IHH Healthcare Malaysia dengan The Sky Race™ mencerminkan komitmennya untuk memajukan kesihatan melangkaui persekitaran hospital serta menggalakkan orang ramai untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam kesejahteraan diri mereka.

Dalam tempoh tiga tahun akan datang, IHH Healthcare Malaysia akan menyokong acara ini melalui inisiatif pembabitan komuniti, program kesihatan dan kesejahteraan, aktiviti pra-acara serta perkhidmatan perubatan di tapak acara, bagi mewujudkan pengalaman yang menggalakkan gaya hidup aktif dan komuniti yang lebih sihat.

Berbeza daripada acara larian konvensional, perlumbaan ini menawarkan peserta peluang yang unik untuk mendaki 118 tingkat dan 2,845 anak tangga sehingga ke Aras 118.

Peserta boleh memilih untuk menyertai Kategori Individu atau Kategori Berpasukan (tiga orang), dengan semua peserta perlu melengkapkan pendakian penuh sebelum turun menggunakan lif.

Bukan sekadar satu perlumbaan, ia menjadi satu acara yang meraikan pencapaian peribadi, kecekalan dan semangat kemasyarakatan.

Pendaftaran kini dibuka di www.theskyrace.com