
Pelakon dan penerbit, Datuk Rosyam Nor menegaskan tindakan segelintir pihak yang melabel artis sebagai sombong adalah tidak wajar.
Artikel Berkaitan: Rosyam Nor Tiada Masalah Trend Lambakan Lagu Raya Tahun Ini – ‘Janji Meriah!’
Artis tak sombong
Rosyam, 59, berkata, golongan selebriti juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada keletihan, tekanan kerja serta pelbagai komitmen harian yang kadangkala mempengaruhi emosi mereka.
Saya secara peribadi tidak nampak wujudnya artis yang sombong. Bagi saya, semuanya okay saja. Dari apa yang saya perhatikan, tiada isu besar pun. Tiada artis yang sombong.
Rosyam berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan filem terbaharunya, Pewaris Susuk yang berlangsung di ibu kota, pada Selasa.
Tambah Rosyam, adalah tidak adil untuk menilai seseorang hanya berdasarkan pertemuan singkat tanpa memahami situasi sebenar yang dihadapi individu tersebut.
Kita tak boleh terus menilai artis sombong hanya sebab pertama kali jumpa. Mungkin ketika itu dia penat, takkanlah dia perlu sentiasa tersenyum.
Ada juga yang wajahnya nampak serius atau garang, tapi hakikatnya tidak sombong. Macam saya sendiri, ada masa muka saya nampak tegang atau berkerut. Takkan itu terus dilabel sombong?
Kita kena faham, mungkin ketika itu dia berdepan masalah sama ada soal kerja, keluarga atau hal peribadi. Tapi kalau kita tegur dengan baik, selalunya mereka akan layan dengan baik juga.
Dalam masa sama, Rosyam menekankan kepentingan artis menghargai peminat kerana mereka merupakan tulang belakang kepada kerjaya seseorang anak seni.
Kalau peminat datang minta bergambar, saya akan layan. Tanpa peminat, siapa kita sebagai artis? Malah, bila mereka kongsi gambar bersama kita, secara tidak langsung mereka bantu promosikan kerjaya kita.
Pewaris Susuk merupakan sebuah filem seram thriller arahan Faizal Nadxaman dengan skrip nukilan Naza Manas dan bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 30 April ini.
Filem tersebut mengangkat tema dosa warisan, amalan susuk demi kecantikan dan kuasa, serta pengorbanan seorang ibu.
Diterbitkan oleh Primeworks Studios dan Anomali Media, Pewaris Susuk turut turut dibintangi Che Puan Sarimah Ibrahim, Alya Iman, Trisha Ooi, Sherie Merlis dan Dayang Fajra.