berita

‘Tiada Jodoh Antara Kami’ – Hafreez Adam & Zara Zya Putus Tunang

December 15th, 2019 | by Shira
Kini Trending

Ramai sedia maklum mengenai kisah percintaan pelakon terkenal, Zara Zya dan Hafreez Adam yang baru sahaja mengikat tali pertunangan pada bulan Oktober yang lalu. Walaupun baru beberapa bulan bertunang, Hafreez mengakui hubungan mereka berhadapan dengan konflik dan berada dalam fasa yang agak rumit.

Terbaru, status perhubungan pasangan ini akhirnya terjawab apabila Hafreez membuka mulut mengesahkan hubungannya dengan Zara Zya kini sudah berakhir sejak bulan November yang lalu.

Tiada persefahaman

Menerusi laporan Berita Harian, pasangan ini memberitahu sepanjang tempoh pertunangan mereka diduga dengan ujian yang berat dan turut menjelaskan hubungan mereka terputus bukanlah kerana kehadiran orang ketiga.

Menurut Hafreez, dia dan Zara masing-masing sudah sepakat untuk meleraikan hubungan ini serta telah berpisah secara baik dan langsung tidak melibatkan pergaduhan.

Jumaat lalu, kami berbincang menerusi aplikasi WhatsApp dan sepakat untuk meleraikan persoalan mengenai hubungan kami, hari ini.

Cukup saya katakan, tiada lagi persefahaman dalam hubungan yang sekian lama terjalin ini. Tiada jodoh antara kami.

‘Saya cuba elak untuk bertemunya’

Menceritakan kisah itu, Hafreez memberitahu buat masa ini mereka lebih selesa untuk tidak digandingkan bersama dalam satu drama kerana mereka mahukan ruang buat diri masing-masing.

Buat seketika dan waktu terdekat ini, saya cuba mengelak untuk bertemunya. Saya juga tidak mahu detik sebegitu membuatkan kami berdepan sebarang tekanan daripada pihak luar.

Saya percaya, masing-masing memerlukan ruang untuk melawan apa sahaja perasaan yang bertamu. Kita tak tahu, selepas berita ini didedahkan, kecaman dan tekanan mungkin bertandang tanpa diduga.

Tambah Hafreez lagi, dia juga turut mendoakan yang terbaik buat Zara serta berharap agar para peminat memahami situasi mereka sekarang dan terus meyokong kerjaya mereka dalam industri seni ini.

Sumber: Berita Harian