
Penyanyi, Ziana Zain, berkongsi kesedihan mendalam selepas kehilangan ayah tercinta, Zain Abdullah yang kembali ke rahmatullah pada Selasa.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Anuar Zain Dedah Arwah Ayah Hidap Kanser Prostat, Syukur Proses Pengurusan Jenazah Dipermudah
Putus doa ayah

Ziana, 57, berkata, ketiadaan arwah membuatkan dirinya kehilangan doa seorang ayah yang selama ini menjadi sumber kekuatan dan penguat semangatnya.
Saya tiada lagi doa daripada seorang ayah. Tiada figura ayah yang mahu mendoakan saya di dunia ini. Sekarang hanya ada doa daripada mak sahaja.
Sebagai anak, sudah pasti kita mahukan doa daripada kedua ibu bapa. Sekarang tiada lagi doa ayah, itu yang buat saya betul-betul sedih.
Selama ini saya anggap ayah sebagai pengawal, dia sentiasa menjaga saya.
Meskipun diuji dengan kehilangan besar, Ziana tetap tabah dengan sokongan diberikan keluarga yang sentiasa berada di sisi.
Pelantun lagu Madah Berhelah itu juga menyifatkan pesanan terakhir arwah ayahnya sebagai bekalan untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga tercinta.
Namun, saya perlu kuat. Saya masih ada mak, adik-beradik, anak-anak dan keluarga. Kami sebuah keluarga yang sangat bersatu.
Arwah ayah selalu pesan, kita satu keluarga perlu sentiasa ‘united’ walau apa jua keadaan sekali pun.
Terdahulu, arwah menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun di kediamannya di Kayangan Heights, Shah Alam, pada Selasa.
Arwah juga disahkan menghidap kanser prostat sejak Disember lalu dan keadaan kesihatan dilaporkan semakin merosot.








