berita

Tiada Pengumuman Pembentukan Kerajaan Baharu Dilakukan, Anwar Menghadap Agong Hari Ini

February 24th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Kecoh di media sosial semalam mengenai satu pengumuman pembentukan kerajaan baharu bakal diadakan selepas Majlis Makan Malam Muafakat Ahli Parlimen di Hotel Sheraton, Petaling Jaya. Namun, desas desus tersebut dikhabarkan tidak berlaku ekoran tiada sidang media atau pengumuman yang dilakukan.

Menerusi laporan Harian Metro, tiada seorang Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR, UMNO dan Pas yang menemui pihak media semasa berada di hotel tersebut. Malah, rata-rata daripada mereka meninggalkan kawasan hotel secara beransur-ansur.

Pertemuan yang agak bagus

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, beliau menyifatkan pertemuan yang diadakan itu agak bagus. Manakala, Ahli Parlimen Larut , Datuk Seri Hamzah Zainudin pula berkata hanya ‘esok’. Selain dua ahli parlimen tersebut, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yaasin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PAS iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut kelihatan di hotel berkenaan. Disoal mengenai majlis yang berlangsung, mereka hanya kelihatan tersenyum dan memberikan isyarat positif.

Di samping itu, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin juga tidak memberi sebarang komen. Sebaliknya, beliau hanya menggenggam tangan seolah memberi isyarat penuh yakin dengan pertemuan itu. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan tidak hadir pada pertemuan semalam dan sidang media yang dikatakan bakal berlangsung tidak diadakan. Menurut sumber dalaman, sebarang pengesahan mengenai pengumuman pembentukan kerajaan baharu hanya akan dibuat paling awal hari Rabu ini.

Membentuk kerajaan baharu

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa memberitahu bahawa gabungan antara Pakatan Harapan iaitu Bersatu, PKR, DAP, Amanah mungkin akan berakhir. Malah, parti itu mungkin akan membentuk gabungan baharu dengan Bersatu dan PAS. Bagaimanapun, beliau berkata pengumuman itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri.

Pembentukan Pakatan baharu perlu mengikut perlembagaan dan perkenan Agong. Akan ada mesyuarat lagi selepas ini bersama Tun Dr Mahathir, kesimpulannya tunggu Perdana Menteri umum pakatan baharu itu.

UMNO akan kekal sebagai parti politik. Saya rasa begitu. Kita mencapai dua pertiga sokongan daripada ahli parlimen yang ada.

Tambahnya lagi, UMNO masih sebuah parti walaupun akan ada gabungan baharu bersama parti yang lain. Disoal mengenai adakah Pakatan Harapan sudah berakhir, beliau seolah-olah mengesahkannya. Sokongan yang diterima juga cukup untuk membentuk kerajaan baharu jelas Annuar.

Menghadap Agong

Menerusi laporan Berita Harian, Presiden PKR iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengemukakan perkembangan mengenai cubaan menubuhkan kerajaan menerusi pintu belakang ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini. Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bakal ditemani isterinya iaitu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah ketika menghadap Agong.

Menurut Setiausaha Politik Presiden PKR, Farhash Wafa memberitahu bahawa agenda sembah menghadap yang dilakukan sekadar membincangkan keadaan politik semasa dan hal ehwal negara. Mengulas mengenai gerakan menubuhkan kerajaan menerusi pintu belakang, dia masih menaruh kepercayaan kerana usaha itu belum berjaya dan tiada keputusan rasmi yang dibuat.

Sumber: Harian Metro & Berita Harian

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×