berita

‘Tiba-Tiba Gas Menyembur Keluar’ – Nadya Syahera Kongsi Detik Cemas Restoran Suami Terbakar

July 19th, 2019 | by Amat Larbsib
Kini Trending

Umum sedia maklum, suami kepada pelakon Nadya Syahera, Fizul Nawi merupakan seorang usahawan dan memiliki beberapa cawangan Ayam Cheese The Golok Cafe. Menerusi Instagram pasangan ini, dimuatnaik sebuah rakaman video kebakaran yang terjadi di kedai makan mereka di Seksyen 7, Shah Alam.

Malah, dipercayai kejadian tersebut berpunca dari tong gas semasa pekerja ingin menukar tong gas baharu. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan tetapi hanya seorang pekerja mengalami kecederaan di tangan.

Saya halalkan semua makan minum customers 

Nadya Syahera turut berkongsi rakaman video kejadian tersebut yang berlaku di kafe milik suaminya, Fizul Nawi di Seksyen 7, Shah Alam. Menerusi kapsyennya turut memohon maaf atas kesulitan yang tidak dijangkakan ini dan dia halalkan segala makan dan minum pelanggan pada kejadian itu. Malah, dia turut memohon jasa baik semua untuk mendoakan supaya The Golok Cafe dibuka semula dan perkara ini tidak diulangi lagi.

Tapak tangan melecur teruk

Menurut laporan mStar, pelakon Nadya Syahera turut berkongsi detik cemas semasa berlakunya kebakaran yang dipercayai berpunca dari tong gas di kafe tersebut. Salah seorang pekerjanya cedera di tangan semasa dalam cubaan menarik keluar tong gas dari meletup.

Kejadian berlaku apabila pekerja saya mahu menukar tong gas baharu. Apabila dia buka tong gas, tiba-tiba gas menyembur keluar dia pun terus berlari masuk ke dalam untuk tarik.

Akibat daripada itu, tapak tangan kanannya melecur teruk. Nasib baik juga gas itu tidak meletup ketika dia cuba tarik keluar.

Saya masih lagi terkejut dan trauma

Bagaimanapun, Fizul Nawi segera membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut. Dalam pada itu, pelakon Setelah Terlafaznya Akad bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku dan kebakaran tidak melibatkan kediaman penghuni di atas premis itu.

Saya masih lagi terkejut dan trauma sebab kebakaran itu berlaku betul-betul depan mata saya. Tapi apa-apapun saya bersyukur semua pelanggan di kedai saya ketika itu tidak mengalami kecederaan.

Nasib baik juga bomba sempat memadamkan api sebelum marak ke rumah atas kedai makan kami. Kerosakan hanya di ruang masak di hadapan kedai sahaja.

Sumber: mStar