Pelakon meningkat naik, Arabella Ellen mengakui tidak berkecil hati meskipun masih ada segelintir pihak yang belum mengenali dirinya serta kewujudannya dalam industri seni tanah air.

Artikel Berkaitan: Arabella Ellen Pergi Casting, Percaya Dipilih Berlakon Kerana Bakat Bukan Rupa

Nama masih baru

Menyedari namanya masih baharu, Ara, 21, berkata dia memilih untuk melihat perkara itu dari sudut positif dan tidak menganggapnya sebagai satu kekurangan.

Tidak kisah dan tidak mengapa jika orang tak kenal saya. Saya banyak kali juga menerima kata-kata seperti itu.

Bagaimanapun, saya sama sekali tidak mengambil hati mahupun terasa. Tidak semua mengenali saya, mungkin satu hari nanti orang akan kenal.

Menurut Ara, setiap anak seni mempunyai perjalanan tersendiri dan semuanya bermula dari bawah sebelum berjaya mencipta nama serta meraih pengiktirafan.

Saya mengakui diri saya masih baharu dalam industri, semua bermula dari bawah. Baru sangat menapak dalam industri, baru masuk tahun ketiga. Ini proses bergelar anak seni.

Ditanya mengenai perkembangan kerjayanya setakat ini, aktres muda itu menyifatkan perjalanannya agak pantas berbanding yang dijangka.

Saya boleh katakan agak laju juga progres saya dalam industri. Sangat bersyukur dengan peluang kerjaya dan banyak perkara indah yang tidak disangka terjadi kepada saya.

Saya tidak pernah tahu semua yang indah ini hadir dalam hidup saya. Umur pun baru 21, saya percaya masih jauh lagi perjalanan kerjaya seni.