Malaysia sebelum ini telah digemparkan dengan berita seorang kanak-kanak di Sabah berusia 3 bulan yang telah disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1). Berita itu mengejutkan ramai pihak khususnya ibu bapa apabila ia merupakan kes polio pertama dalam sejarah selepas 27 tahun negara bebas dari penyakit merbahaya itu.
Namun terbaru menerusi laporan Bernama, Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan dua lagi kanak-kanak masing-masing berusia 8 dan 11 tahun telah disahkan dijangkiti virus tersebut .
Tidak terima suntikan imunisasi
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataannya berkata, mangsa terbaru virus itu merupakan warganagera asing yang menetap di Sabah dan tidak pernah menerima suntikan imunisasi.
Kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun yang menetap di Sandakan tidak pernah menerima sebarang imunisasi. Pada 9 Dis 2019, dia telah mengalami demam dan tiga hari kemudian tidak boleh berjalan.
Seorang lagi kanak-kanak menetap di Kinabatangan tidak pernah mendapat sebarang imunisasi mengalami demam pada 17 Nov 2019 dan telah mendapatkan rawatan di klinik. Pada 1 Dis, dia dimasukkan ke hospital setelah mengadu sakit pada bahagian belakang dan tidak boleh berjalan. Pesakit kini boleh berjalan dengan bertongkat.
Beliau bagaimanapun berkata, kedua-dua pesakit itu masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil.
Perkaitan genetik kes polio Filipina
Kata Noor Hisham, ujian makmal dari World Health Organization Polio Regional Reference Laboratory (WHO Polio RRL) di Melbourne, Australia mendapati virus polio yang telah menjangkiti ketiga-tiga kanak-kanak itu ada perkaitan genetik dengan kes polio di Filipina.
Katanya, siasatan rapi telah dijalankan bagi mengenal pasti punca jangkitan kedua-dua kes baharu itu sebaik sahaja ia dikenal pasti sebagai survelan acute flaccid paralysis (AFP).
Beliau memaklumkan sehingga kini, seramai 705 penduduk di kawasan tempat tinggal kedua-dua kanak-kanak itu telah diperiksa dan tiada kes AFP lain yang dikesan.
Katanya, aktiviti kawalan wabak polio di seluruh Sabah sedang giat dilaksanakan dan Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS 2019/2020) yang menyasarkan semua kanak-kanak berumur bawah lima tahun di Sabah juga telah dimulakan.
Justeru beliau menyeru penduduk Sabah khususnya ibu bapa supaya memastikan anak-anak berumur bawah 5 tahun menerima 2 dos vaksin polio secara titis (OPV) semasa kempen itu dijalankan.
Sumber: Bernama, Free Malaysia Today