Umum mengetahui, pelakon, Sharifah Sakinah menghidap disleksia tahap sederhana dan memiliki ciri-ciri hiperaktif ‘Attention Deficit Hyperactivity Disorder’ (ADHD). ADHD merupakan gangguan yang ditandai dengan perilaku impulsif, hiperaktif, dan kurangnya perhatian.
Artikel berkaitan: Alami Kemurungan, Kerisauan Melampau, Sharifah Sakinah Bakal Tinggalkan Malaysia?
Terbaru, Sakinah dipercayai sudah menjalani beberapa sesi rawatan bagi memulihkan keadannya semula. Malah, sepanjang sesi rawatan tersebut, Sakinah turut memberi kesedaran dan berkongsi pengalamannya kepada masyarakat di luar sana.
Tiga minggu jalani temu duga
Di Instagram, Sakinah memberi nasihat kepada semua orang yang mempunyai simptom ADHD atau bipolar untuk segera berjumpa dengan pelbagai doktor bagi mengenal pasti tahap masalah yang dihidapi oleh diri mereka sendiri. Tambahnya, jangan menggunakan ‘Google’ sebagai tempat untuk melakukan ujian bagi mengesan tahap masalah tersebut.
Dalam situasi saya, hampir tiga minggu saya perlu menjalani sesi temu duga. Sampai mereka telefon keluarga saya. Saya turut melakukan beberapa ujian yang lain. Pemeriksaan ini tidak semudah menjawab soalan di dalam talian bagi mengenalpasti simptom dan tanda-tanda seseorang itu menghidap ADHD mahupun bipolar.
Jelas Sakinah lagi, bila sebut sahaja mengenai ADHD semua orang akan berfikir mengenai ‘hyper’ sahaja. Padahal, ianya sangat rumit dan boleh membawa kepada perasaan ‘overthinking’ sehingga menjejaskan emosi. Tambah Sakinah, dia sudah menjalani beberapa ujian dan kini sedang mengikut nasihat yang diberikan oleh doktor. Meskipun agak susah untuk berdisplin, Sakinah memberitahu bahawa sokongan daripada orang yang terdekat mampu membuatkan dirinya bersemangat bagi mendepani cabarani yang mendatang.
Dunia ini tak akan faham mengenai diri kita. Siap boleh kena label sebagai mengada dan over. Tapi di penghujungnya, kita sendiri yang kena jadi baik buat diri sendiri termasuk menerima keadaan diri sendiri.
Mental health
Sakinah dipercayai menerima rawatan di Sweden selepas dia mengikut teman lelakinya iaitu Michael Hansen pulang ke negara tersebut. Sebelum ini, Sakinah telah membuat pengakuan bahawa dirinya bakal meninggalkan Malaysia dan dunia lakonan buat sementara waktu. Malah, dia memerlukan perubahan dari segi pemandangan bagi merawat masalah yang dihidapnya.
Jelas Sakinah lagi, istirahat ini tidak bermaksud semua minat dan usahanya dalam bidang lakonan akan berakhir. Bahkan, dia merancang untuk kembali lebih kuat dan lebih sihat daripada sebelum ini jika kembali beraksi semula.
Sumber: Sharifah Sakinah