berita

‘Didikan Ayah Jenis ‘Old School’ Sikit’ – Rahsia Kejayaan 10 Beradik Graduan UIAM

November 12th, 2018 | by Arini Saleh
Kini Trending

Tidak dinafikan didikan ibu bapa merupakan faktor utama dalam kejayaan anak-anak. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi dan sahsiah yang baik.

Seperti kisah 10 adik beradik viral ini, bapa mereka merupakan seorang yang tegas dan berprinsip tinggi terutamanya dalam hal berkaitan agama. Salah satu tips yang menarik perhatian adalah mereka akan mengaji Al Quran setiap hari selepas maghrib.

10 beradik graduan UIAM

11.11.2018
Alhamdulillah, hari bahagia buat mak dan ayah!

Kami berjaya mengumpulkan 10 orang adik beradik kami yg kesemuanya graduan UIAM dari Kota Bharu, Selangor, N9, Kuantan dan Kuala Lumpur untuk sama2 turun dan memberi kenangan terindah buat mak & ayah sempena majlis konvo adik bongsu kami yg ke 10.

Terima kasih buat mak (Hjh Wan Jamaliah bt Megat Hashim) & ayah (Ir Haji Fauzi bin Abdullah) diatas tarbiyyah yg hebat buat kami. 10 kali mak ayah masuk Dewan Konvo UIA ditambah 4 kali lagi bila ada antara kami yg menyambung ijazah kedua dan master.

Dan 14 kali itulah dari tahun 2002 hingga 2018 mak & ayah tetap hadir dgn jambangan bunga dan hadiah untuk kami. Terima kasih mak, terima kasih ayah, SYURGA BUATMU!

#special thanks utk ipar duai (yg mana 6 drpd 10 nya juga graduan UIAM) atas sokongan, dan super special thanks utk kwn2 bee yg telah meminjamkan robe kalian utk kami. Sungguh ia sgt2 bermakna! Terima kasih yg tidak terhingga dari kami!

Terima kasih dari kami anak2 mak & ayah :

1) Anas bin Fauzi
Bachelor of Laws, 2002

2) Maryam bt Fauzi
Bachelor of Laws, 2003
Master in Comparative Laws, 2004

3) Asiah bt Fauzi
Bachelor of Human Science, 2004
Master in Human Science (Psychology), 2012

4) Sumayyah bt Fauzi
Bachelor of Laws, 2005
Master in Comparative Laws, 2009

5) Fatimah bt Fauzi
Bachelor Bio Chemical – Bio Technology Engineering, 2009

6) Muadz bin Fauzi
Bachelor of Information Technology, 2009

7) Aishah bt Fauzi
Bachelor of Laws, 2012
Bachelor of Laws (Shari’ah), 2013

8)Asma’ bt Fauzi Al-Hafizah
Bachelor of Mathematical Science, 2011

9) Dr Abdul Rahman bin Fauzi Al-Hafiz
Bachelor of Dentistry, 2015

10) Dr Abdullah bin Fauzi Al-Hafiz
Bachelor of Medicine & Surgery, 2018

Pentingkan pendidikan agama dari kecil

SIAPA MAK AYAH DI MATA KAMI?

Saya tak sangka gambar kami adik beradik 10 orang memakai robe UIAM yang saya upload semalam menjadi tular dan mendapat perhatian pihak UIAM. Ramai yang mengucapkan tahniah, tak kurang juga yang minta kongsi tips bagaimana cara mak ayah kami mendidik kami.

Jadi in sha Allah saya akan cuba kongsi sedikit sebanyak tentang siapa mak ayah di mata kami.

Memandangkan saya merupakan anak kesembilan, mungkin banyak saya akan cerita berdasarkan apa yang saya tahu dan dengar daripada abang-abang dan kakak saya sahaja. Ayah kami, Ir Haji Fauzi bin Abdullah merupakan seorang jurutera sivil graduan University of Manchester manakala mak, Wan Jamaliah binti Megat Hashim pula seorang suri rumah.

Didikan ayah memang jenis style ‘old school’ sikit. Ayah merupakan seorang yang sangat tegas, berdisiplin dan tidak boleh berkompromi terutamanya perkara-perkara berkaitan prinsip agama. Ayah awal-awal dulu tersangatlah tegas dan garang. Saya yang last-last ni tak merasa sangat zaman awal didikan ayah.

Menurut kakak, ayah sangat mengambil berat tentang didikan agama, pergaulan, pemakaian dan pemakanan kami. Bahkan ketika zaman sistem perbankan islam belum ada, ayah tidak pernah berhutang untuk membeli kereta atau rumah kerana ayah tidak mahu anak-anak disuap daripada hasil riba. Begitulah betapa telitinya ayah dalam membesarkan kami.

Pendidikan agama sangat ditekankan sejak dari kecil lagi. Ayah sendiri yang mengajar abang dan kakak kami untuk mengaji alquran di rumah dan kemudiannya diteruskan oleh kakak kami Maryam Fauzi yang akan mengetuai adik beradik lain mengaji alquran setiap kali selepas maghrib. Beliau siap buat jadual silibus khas untuk adik-adik yang lain capai. Ada target.

Setiap malam Jumaat pula kami akan duduk bersama-sama membaca surah alkahfi beramai-ramai. Dan tidak salah saya rasa kalau saya katakan adik beradik kami hafal surah alkahfi sejak sekolah lagi kerana amalan ini! Manakala setiap pagi hujung minggu, kami diwajibkan untuk membaca al-ma’surat beramai-ramai sampai habis.

Kami semua dihantar ke sekolah agama sejak sekolah rendah lagi kecuali abang dan kakak-kakak yang atas kerana masa tu sekolah rendah agama mungkin belum ada. Yang lain dihantar bersekolah di Sekolah Rendah Islam Aman (bawah kelolaan MUSLEH) manakala sekolah menengah pula kami semua dihantar belajar di sekolah Maahad Muhammadi Kota Bharu, sekolah kelolaan kerajaan negeri Kelantan. 3 orang daripada kami dihantar belajar tahfiz di Darul Quran dan saya merupakan salah seorang daripadanya.

Ayah dan mak banyak mengajar kami berdikari sejak kecil. Kerja rumah, belajar dan kebersihan ayah akan selalu pantau. Kalau kat rumah ayah memang tak bagi kami membazir masa. Tidur selepas subuh pun tak boleh. Buat la apa sahaja. Baca buku, tolong buat kerja rumah, memasak dan sebagainya. Janji jangan membazir masa. Pelajaran pula ayah dan mak akan pastikan kami boleh fokus sendiri tanpa disuruh-suruh.

Ayah dengan mak memang sangat rajin beramal. Tahajud dan qiyamullail sudah menjadi rutin biasa. Pergi mana-mana, solat berjemaah subuh dan baca ma’surat memang tak pernah sekali pun tertinggal sepanjang saya kenal ayah!. Ayah akan pastikan juga untuk solat berjemaah walaupun hanya di rumah bersama keluarga.

Ayah dan mak selalu berpesan, pergi mana-mana pun, jaga imej Islam dan keluarga. Solat dan alquran jangan pernah lupa. Hidup ini tak kekal lama. Sentiasa jadi yang terbaik dalam bidang kita dan bermanfaat pada orang, walau ke mana pun kami dicampak. Apabila tahu cerita kami tular, ayah hanya berpesan supaya gunakan platform yang Allah bagi ini untuk berdakwah kepada orang lain.

Begitulah serba sedikit tentang mak dan ayah kami. Nampak saja tegas, tapi sangat penyayang. Kami sangat-sangat bertuah kerana dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana yang mementingkan Islam sebagai cara hidup tanpa meminggirkan urusan dunia.

Ayah dan mak meninggalkan satu amanah yang besar untuk kami pikul. Agar anak cucu mak ayah, terus menerus mendidik generasi akan datang, menjadi manusia yang berguna khususnya untuk agama.

Lastly kenapa memilih UIAM bukan institusi pengajian lain? Itu kena tanya ayah. Sebab ayah rasakan UIAM yang paling terbaik untuk kami sekeluarga dan memang rezeki kami untuk belajar dan grad di sini.

Sekian sahaja coretan daripada saya. Moga ada manfaat untuk semua. Anda boleh share je post ni tanpa minta izin ya. :)

-Dr Abdul Rahman bin Fauzi Al-Hafiz
BDS IIUM

Anak Haji Fauzi dan Wan Jamaliah yang ke 9

Sumber : Aishah Fauzi , Abdul Rahman Fauzi

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×