
Perjalanan mengejar impian bukan sentiasa pantas. Ada kalanya kita sudah berusaha sehabis baik, namun hasil yang ditunggu masih belum kelihatan.
Buat mereka yang sedang melalui fasa itu, penyanyi Iman Troye menitipkan pesanan supaya tidak mudah berputus asa hanya kerana melihat perkembangan diri terasa perlahan.
Artikel Berkaitan: POV XTRA: Nyanyi Semula Lagu Tradisional Bukan Sekadar Trend, Iman Troye Akui Besar Tanggungjawab Bawa Pop Etnik
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Iman Troye Raih RM2.5 Juta, Diamond Artist XO House – ‘Jung Jung Inai’ Cecah 1.5 Juta Streams
Jangan Mudah Putus Asa
#TipsXTRA merupakan segmen yang mengetengahkan perkongsian, nasihat serta pandangan selebriti mengenai kehidupan, kerjaya, hubungan dan pembangunan diri yang boleh dijadikan panduan kepada pembaca.
Bagi edisi #TipsXTRA minggu ini, Iman berkara perkara paling penting adalah terus melakukan sesuatu yang benar-benar diminati kerana rasa cinta terhadap apa yang dilakukan mampu membuatkan seseorang bertahan lebih lama.
Kalau rasa putus asa, jangan. Pastikan buat benda yang awak suka dan minat sebab bila kita buat sesuatu perkara itu dengan penuh minat, lama-lama akan jadi ikhlas.
Kita tak akan rasa penat atau ‘drained’ sebab buat benda yang kita minat.
Jangan Hidup Mengikut Tanggapan Orang
Dalam mengejar impian, Iman turut mengingatkan agar tidak terlalu memikirkan pandangan orang lain sehingga sanggup mengubah diri sendiri semata-mata mahu diterima.
Teruskan mengejar impian, jangan fikir tanggapan orang lain. Jadi diri sendiri, jangan ubah diri sendiri untuk orang lain. Itu sangat tak bagus.
Baginya, setiap individu mempunyai perjalanan dan tempoh masing-masing untuk mencapai apa yang diimpikan. Apa yang penting adalah terus bergerak tanpa kehilangan identiti sendiri.
Restu Mak Ayah Jadi Pegangan
Namun di sebalik usaha dan minat, Iman percaya satu perkara yang tidak seharusnya dilupakan ialah restu ibu bapa.
Malah, meskipun berada jauh daripada keluarga, Iman akan cuba mendapatkan doa mereka sebelum memulakan urusan kerja.
Paling penting adalah restu mak ayah. Kalau ada masa lapang sebelum pergi kerja, kalau duduk jauh dengan mak ayah, hantar gambar dekat mereka, cakap nak pergi kerja dan minta doa mereka.
Kesedaran itu menjadi lebih mendalam selepas Iman mendengar luahan seorang rakannya yang sudah kehilangan kedua-dua ibu bapa.
Satu benda yang buat saya sedih sangat, saya ada kawan yang tak ada mak ayah. Dia pernah cakap pada saya, ‘Mesti seronok kan hidup korang, ada mak ayah doakan. Doa itu masih berjalan sepanjang masa, aku dah tak ada’.
Kata-kata tersebut membuatkan Iman sedar bahawa perkara yang dianggap biasa oleh seseorang mungkin sebenarnya merupakan nikmat besar yang tidak dimiliki orang lain.
Lepas dia cakap macam tu saya sedar yang tak semua orang ada apa yang kita ada sekarang.
Mak ayah takkan ada selamanya dengan kita. Hargailah selagi mereka masih ada.








